“Saya Hanya Mahu Mencari Kelainan”, Pemilik Butik Pengantin Tampil Jelaskan Keadaan Sebenar

Baru-baru ini, tular foto dan rakaman video di laman sosial Twitter yang memaparkan model wanita muslimah dengan busana pengantinnya. Walau bagaimanapun, apa yang menyedihkan adalah apabila lokasi penggambaran foto berkenaan diadakan di tanah perkuburan bukan Islam yang terletak dekat Batu Pahat, Johor.

Sehingga ke hari ini, kesemua gambar tersebut masih menjadi isu yang hangat dibincangkan oleh warganet. Kebanyakan mereka mempersoalkan tindakan pemilik butik perkahwinan berkenaan kerana sanggup mengadakan penggambaran busana pengantin di sebuah tanah perkuburan.

Hal ini secara tidak langsung telah mengundang kemarahan daripada pelbagai masyarakat. Rata-rata daripada mereka bersependapat bahawa perbuatan pemilik butik pengantin tersebut seolah-olah tidak menghormati kaum lain dan kelihatan mempermainkan agama.

Tidak kurang juga yang berpendapat bahawa pemilik butik berkenaan bertindak sedemikian untuk meraih publisiti bagi memasarkan perniagaannya.

Berikutan isu yang tular ini, pemilik butik yang dikenali sebagai Nur Amirah Mohd Amiruddin tampil menjelaskan keadaan sebenar dan berkata “Saya mengakui kesilapan itu daripada diri sendiri dan memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung.”

Jelasnya menerusi laporan Harian Metro, gambar berkenaan diambil bertujuan sebagai koleksi peribadi, bukan untuk mencari publisiti sebagaimana yang didakwa oleh warganet.

Lokasi tanah perkuburan bukan Islam itu juga dipilih kerana mahu mencuba untuk mendapatkan kelainan dan lari daripada kebiasaan. Idea tersebut juga dikatakan diambil daripada luar negara.

Tambah wanita itu lagi, dia tiada niat langsung untuk mempermainkan mana-mana agama. Sehubungan dengan itu, Amirah bertindak untuk menyahaktifkan akaun media sosialnya buat sementara waktu bagi meredakan keadaan.

Bagaimanapun, dia tetap menerima kritikan warganet dengan hati yang terbuka kerana sedar bahawa isu yang timbul berpunca daripada kesilapan dirinya sendiri.

Sebagai rakyat yang hidup dalam masyarakat berbilang kaum, kita seharusnya mengambil kira dan peka akan keadaan sekeliling sebelum bertindak melakukan sesuatu.

Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh salah seorang ustaz daripada program Pencetus Ummah (PU), perbuatan seperti itu bukan sahaja menimbulkan kemarahan umat Islam dan penganut agama lain, malah mampu menggugat keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia.

Artikel Lain Untuk Di Baca