“Saya Hanya Mahu Disiplinkan Anak”, Wanita Dera Anak Sampai Mati Tampil Beri Penjelasan

Pada minggu lalu, warganet dikejutkan dengan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang menjadi mangsa dera ibu bapa sendiri. Mangsa dilaporkan telah dikurung di dalam sebuah sangkar kucing dan telah disimbah dengan air panas sebelum akhirnya meninggal dunia akibat kecederaan teruk yang dialaminya.

Walau bagaimanapun, Azlin Arujunah yakni ibu kepada mangsa berkata dia dan suaminya sama sekali tidak berniat untuk membunuh anak lelaki mereka itu.

Menurut laporan Today Online, motif kejadian dikatakan berpunca daripada si ibu yang hanya mahu mendisiplinkan anaknya.

“Saya tidak berniat untuk menuang air panas pada anak saya jika dia tidak buat perangai. Saya sendiri tidak mengetahui punca sebenar kematiannya,” ujar Azlin.

Azlin menjelaskan semasa di mahkamah bahawa tujuan sebenar dia memukul anaknya itu hanyalah kerana dia mahu kanak-kanak tersebut belajar dari kesilapan.

“Saya tidak berniat hendak membunuhnya,” kata Azlin semasa di mahkamah.

“Saya tidak pernah pukul anak-anak lain seteruk ini. Kalau saya memang nak membunuh pasti anak-anak saya yang lain juga menjadi mangsa. Tapi, mereka selamat dan saya tidak memukul mereka.”

Selain itu, Azlin juga menggunakan alasan tubuhnya yang kecil menyukarkan dirinya untuk membunuh seorang budak. Tambahan pula, dia tidak sampai hati untuk mengambil nyawa cahaya mata sendiri.

Azlin dan suaminya, Ridzuan Mega Abdul Rahman kini sedang dibicarakan atas dakwaan membunuh anak lelaki mereka dengan menyimbah air panas ke atas tubuh kanak-kanak tersebut. Difahamkan, kejadian berlaku di kediaman keluarga berkenaan di Singapura pada 15 dan 22 Oktober 2016.

Jika disabitkan kesalahan, pasangan ini boleh dikenakan hukuman mati.

Selain itu, Azlin dan Ridzuan Mega turut didakwa atas beberapa kesalahan lain seperti mengabaikan dan mendera anak mereka.

Pasangan terbabit juga didakwa telah mengurung anak lelaki mereka di dalam sebuah sangkar kucing.

Menurut Ridzuan, semasa dalam perjalanan ke hospital, anak lelakinya itu mengadu sakit beberapa kali dalam keadaan yang lemah.

Bapa ini juga berkata ketika isterinya menyimbah air panas ke tubuh anak itu, kanak-kanak tersebut menjerit “Kau gila ke apa?”

Ibu kepada kanak-kanak malang itu menjadi berang selepas mendengar anaknya berkata demikian.

Difahamkan, pasangan terbabit membaling beberapa cawan air panas ke badan kanak-kanak malang itu sehingga meragut nyawanya.

Artikel Lain Untuk Di Baca