“Saya Hampir Bunuh Diri” – Aliff Syukri

Sejak akhir-akhir ini, pengasas produk D’Herbs, Datuk Seri Aliff Syukri mengakui dihimpit pelbagai ujian dan beliau hampir mengambil tindakan di luar jangkaan.

“Saya hampir mahu bunuh diri akibat terlalu tertekan. Bukan soal mak sahaja, perkara lain yang terjadi seperti satu pakej lengkap. ” ujarnya.

Penyanyi lagu Bobo Di Mana itu turut menyatakan bahawa tindakan ibunya yang menegur beliau di laman sosial telah menambahkan lagi tekanan yang dihadapi, namun Aliff memilih untuk memohon maaf kepada ibunya, Rozita Ibrahim.

Klip video muzik single terbaharunya, “Cuba Bahagia” memaparkan usahawan itu menyanyi dengan tangisan berdarah seolah-olah merupakan simbolik kepada keretakan rumah tangga bersama Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid.

Namun, Datuk Seri Aliff Syukri menafikannya dan beliau menjelaskan bahawa dia dan isteri masih bahagia walaupun pasangan suami isteri itu tidak lagi saling mengikuti akaun Instagram masing-masing.

Menurut Datuk Aliff, Cuba Bahagia adalah hasil nukilannya yang menceritakan dirinya yang mahu bahagia seperti orang lain. Lagu tersebut juga bukan gimik untuk meraih perhatian, sebaliknya hanya luahan rasa.

“Saya merasakan makin sukar untuk mendapat bahagia, jadi saya cipta lagu ketika jiwa saya bersedih. Bahagia terlalu mahal, tak boleh dijual beli dengan wang. Itulah yang cuba disampaikan dalam lagu ini,” ujarnya.

Menurut usahawan kosmetik itu lagi, lagu ini tidak ditujukan kepada mana-mana individu. Sebaliknya lagu ini ditujukan kepada mereka yang turut sama mencari kebahagiaan seperti dirinya.

Untuk membaca artikel lain berkaitan Datuk Seri Aliff Syukri, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca