Saudara Hafizul Hakim telah berkongsi di laman Facebooknya tentang foto seorang pemuda yang bernama Majed Al-Hakami iaitu seorang pengawal keselamatan di Mekah ketika musim Haji yang tular di media sosial kerana sifat kemanusiaan dan tanggungjawabnya sebagai seorang askar.
Majed menceritakan kisah di sebalik foto tularnya itu ketika musim #Hajj 1440 Hijrah ini kepada Al-Arabiya.net.
Pada hari Wukuf Arafah, saya perhati seorang jemaah lelaki tua ini yang tidak dapat berjalan dari jauh. Sekejap dia duduk dan kejap berdiri. Saya datang padanya dan bertanya jika dia perlu apa-apa bantuan.
Saya bertanya, “Apa yang menyakiti anda?” Dia jawab dalam bahasa Urdu dan saya langsung tidak faham apa yang dikatakan. Tetapi saya dapat dengar dan nampak keluhan dan rintihannya. Dia sakit. Kemudian, saya berinya air untuk minum dan dia membasuh kepalanya.
Saya bimbang jika dia terpijak objek tajam atau kepingan kaca pecah ataupun mungkin dia terjatuh ke tanah. Saya periksa kakinya. Kakinya menggeletar dan tak mampu lagi untuk berjalan.
Terdetik rasa kesian melihat lelaki tua itu kerana dia mungkin jatuh terbungkam di atas tanah. Saya yakinkan dia dalam bahasa isyarat, “Jangan takut, saya bersama anda. Saya tak akan tinggalkan pakcik!” Saya anggap dia seperti bapa sendiri.
Saya berjalan memimpin tangannya untuk jarak yang dekat tetapi dia berjalan dengan sangat perlahan. Saya katakan dalam bahasa isyarat bahawa saya akan membawanya.
Jadi saya angkat dan pikul badannya. Dia kemudian bercakap dengan saya dengan ungkapan yang saya rasa penuh dengan rasa syukur dan doa untuk saya.
Saya tersenyum sepanjang perjalanan sambil membawanya supaya pakcik itu tidak merasakan bahawa dia menjadi beban yang menyusahkan saya. Saya ikhlas mencari pahala dan redha daripada Allah SWT.
Jemaah haji itu menderita sakit lutut akibat usia tua. Dia tak dapat berjalan jarak jauh, jadi saya membawanya dari Arafah hingga ke stesen kereta api. Saya duduk di sisinya beberapa ketika. Kemudian saya membawanya ke Muzdalifah supaya dia bermalam di sana. Saya sendiri membawanya ke Mina iaitu kem tempat beliau tinggal. Saya tak meninggalkan tempat itu sehingga saya yakin lelaki tua berada dalam keadaan yang selamat.
Dia mencium kepala saya dan menangis. Saya merasakan bahawa Allah SWT telah memilih saya di kalangan beratus ribu orang untuk menjaga jemaah haji ini pada hari yang diberkati ini. Saya berdoa kepada Allah SWT agar Dia memberi balasan syurga kepadaku! ”
Demi Allah, saya tak pernah tahu dan tidak menyedari bahawa ada orang mengambil gambar kami berdua. Saya masih terkejut sehingga saat ini bagaimana gambar-gambar itu tersebar luas seluruh dunia.
Di saat orang tua itu berdoa bergantung harap pada Allah ketika beliau buntu bagaimana untuk pulang ke khemahnya di Mina. Allah hantar bantuan melalui askar muda yang sangat baik hati ini.
Kisah ini menjadi pengajaran buat kita untuk sentiasa ada sifat mahu membantu orang yang memerlukan. Anak muda kasih pada orang tua dan yang tua sayangkan anak muda.