“Saya Akan Dan Saya Boleh.” Tingkatkan Kesedaran Tentang Penyakit Kanser

Hari Kanser Sedunia merupakan inisiatif peringkat global bertujuan untuk menyatukan komuniti dunia untuk memerangi wabak kanser. Disambut pada 4 Februari setiap tahun, Hari Kanser Sedunia bertujuan untuk mencegah berjuta-juta kematian akibat kanser yang boleh dielakkan dengan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan dalam kalangan individu, keluarga dan komuniti.

Tema untuk tahun ini adalah “I Am and I Will” “Saya Akan dan Saya Boleh.” Tema baru yang diperkenalkan oleh The Union for International Cancer Control (UICC) ini bakal digunakan untuk tempoh tiga tahun dari tahun 2019 sehingga 2021.

Tema ini menyaran dan memperkasakan semua individu untuk menyuarakan komitmen masing-masing dalam mengambil tindakan untuk memerangi wabak kanser. Semua rakyat Malaysia mempunyai kekuatan untuk mengurangkan kesan kanser untuk diri sendiri, ahli keluarga yang disayangi dan komuniti.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, dianggarkan 60 peratus kanser di negara ini dikesan pada tahap lewat iaitu tiga serta empat dan antara faktor penyumbangnya ialah kurang kesedaran mengenai kepentingan menjalankan ujian saringan dari awal.

Kanser kini merupakan penyebab kedua tertinggi kematian dalam kalangan rakyat Malaysia. Tiga jenis kanser yang tertinggi dalam kalangan lelaki di Malaysia adalah kolorektal (16.4%), paru-paru (15.8%) dan nasopharynx (8.1%); manakala dalam kalangan wanita adalah payudara (32.1%), kolorektal (10.7%) dan serviks (7.7%).

Beban penyakit kanser dijangka akan meningkat disebabkan oleh prevalen faktor-faktor risiko penyakit tidak berjangkit (Non-Communicable Diseases atau NCD) yang tinggi dan populasi menua (aging population) di Malaysia.

Kementerian Kesihatan Malaysia turut melaksanakan Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) yang akan dilaksanakan pada Mac ini menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan, bantuan perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan menyediakan perkhidmatan saringan untuk empat jenis kanser iaitu payudara, serviks, kolorektal dan oral di klinik kesihatan KKM di seluruh negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sempena Hari Kanser Sedunia 2019, pelbagai aktiviti dirancang oleh Kementerian Kesihatan dan organisasi bukan kerajaan, persatuan dan kumpulan sokongan pesakit kanser di seluruh negara serta di pelbagai peringkat.

Marilah kita bersama-sama mengambil tindakan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkaitan kepentingan menjalani ujian saringan, dan mengenali tanda-tanda dan gejala-gejala awal kanser.

Kita juga perlu bersama-sama memerangi mitos, informasi yang tidak benar dan salah faham yang menyebabkan rakyat Malaysia enggan menjalani saringan, enggan atau melambat-lambatkan rawatan awal, dan percaya kepada terapi atau rawatan yang tiada bukti keberkesanan.

Sumber: Bernama

Artikel Lain Untuk Di Baca