Apple dan Google digesa oleh aktivis hak asasi manusia dan Senator Amerika Syarikat (AS) untuk membuang aplikasi yang dinamakan sebagai Absher daripada App Store dan Play Store. Mereka berhujah bahawa aplikasi itu adalah salah satu bentuk penyalahgunaan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan di Arab Saudi.
Arab Saudi pada hari Sabtu, 13 Februari telah mempertahankan aplikasi mudah alih tersebut yang membolehkan lelaki di negara itu mengesan serta mengawal wanita dalam jagaan mereka; termasuklah isteri dan anak perempuan. Aplikasi yang boleh dimuat turun secara percuma itu antara lain membenarkan lelaki mengemas kini atau membatalkan kebenaran untuk isteri dan anak perempuan dalam jagaan untuk melancong ke luar negara serta mendapatkan kemas kini melalui SMS jika pasport mereka digunakan. Mereka boleh secara efektifnya mendapatkan maklumat bila dan dari lapangan terbang mana wanita dalam jagaan mereka boleh berlepas.
Menurut Insider, seorang wanita di negara itu baru-baru ini memberitahu bahawa dia cuba untuk ke luar negara tanpa dikesan oleh Absher dan penjaga lelaki beliau. Namun, untuk ke luar negara, wanita hendaklah mendapatkan kebenaran melalui aplikasi Absher terlebih dahulu. Ramai wanita yang tidak boleh melakukan perkara tersebut kerana aplikasi itu akan menyampaikan amaran melalui SMS kepada kepada penjaga setiap kali wanita di bawah jagaan mereka cuba untuk menggunakan pasport mereka.
I am demanding that @Google and @Apple pull down apps that promote abusive practices against women in Saudi Arabia. https://t.co/BRzQ0jmLDA
— Ron Wyden (@RonWyden) February 12, 2019
Senator AS, Ron Wyden secara terbuka menyeru Apple dan Google untuk membuang aplikasi itu dari App Store dan Play Store, dengan alasan ia mempromosikan ‘amalan kejam’ terhadap wanita” menerusi satu hantaran di Twitter beliau.
“Dengan membenarkan aplikasi ini di App Store dan Play Store, syarikat anda memudahkan para lelaki Saudi untuk mengawal anggota keluarga mereka daripada kemudahan telefon pintar mereka dan menyekat pergerakan mereka,” tulis Wyden dalam satu surat yang ditujukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook dan CEO Google, Sundar Pichai.

Apple dan Google kedua-duanya belum memberikan sebarang komen tentang perkara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook memberitahu sebuah radio di Amerika Syarikat, NPR semalam bahawa beliau tidak pernah mendengar tentang Absher tetapi memberi jaminan untuk “melihatnya”.
Apa pula pendapat anda? Bagi kami, penggunaan teknologi banyak membantu kelancaran hidup manusia, namun jika ia ‘terlebih guna’, pasti akan mendatangkan kemudaratan atau paling tidak, menjejaskan keselesaan serta keharmonian hidup berkeluarga dan bermasyarakat.