“Satu Syawal Yang Penuh Mulia,” Neelofa Sekeluarga Didakwa Langgar SOP PKP Lagi

Seorang selebriti dan usahawan Malaysia yang terkenal, Noor Neelofa Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Neelofa, dipercayai telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Aidilfitri yang lalu.

Neelofa dikatakan telah melanggar SOP PKP kerana telah berkumpul bersama keluarganya dan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang pertama pada 13 Mei yang lalu di sebuah rumah di Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail.

Isu tersebut timbul setelah kakak selebriti terkemuka tersebut, Noor Nabila, memuatnaik sebuah video pendek di akaun Instagramnya berserta kapsyen “1 Syawal yang penuh mulia.”

Video pendek berdurasi 26 saat itu menunjukkan Neelofa dan seisi keluarganya sedang bersalam-salaman bersama di sebuah rumah yang sama.

Klip video itu telah dipadam dari akaun media sosialnya setelah mendapat perhatian warganet yang telah menegur sikap selebriti itu kerana masih melanggar SOP PKP yang sudah jelas melarang sebarang aktiviti menziarah pada hari raya.

Melalui tangkapan skrin yang tular di media sosial, Neelofa dan suaminya, PU Riz didapati turut memeriahkan sambutan hari raya beramai-ramai bersama ahli keluarga Neelofa pada satu Syawal yang penuh mulia itu.

Pengumuman SOP PKP menjelang Aidilfitri yang menyatakan sebarang aktiviti menziarah menjelang Aidilfitri adalah dilarang sama sekali bahkan sudahpun diumumkan seminggu sebelum hari raya tiba.

Berikutan daripada kes COVID-19 di negara kita yang kini sudah di tahap yang membimbangkan, pihak kerajaan telah memutuskan untuk membuat peraturan yang sedemikian bagi menurunkan kadar kes positif setiap hari.

Namun begitu, ramai rakyat Malaysia yang dikompaun sebanyak RM2,000 kerana masih berdegil untuk menziarahi ahli keluarga masing-masing yang terbukti melanggar SOP PKP yang diumumkan.

Dalam pada itu, polis telah memaklumkan bahawa siasatan tentang isu selebriti terkenal dan keluarganya itu akan dijalankan sebelum tindakan selanjutnya dikenakan.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar mengatakan bahawa pihak polis sudahpun menerima kenyataan daripada selebriti itu termasuk sembilan orang ahli keluarganya yang lain pada Selasa lalu.

Beliau turut menasihati orang awam untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan video tular yang melibatkan keluarga selebriti itu dan hendaklah mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan kerajaan.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca