Saran Kerajaan Tubuhkan Satu Jawatankuasa Khas, Kes Kematian Penyu Membimbangkan

Sejak kebelakangan ini, kes kematian penyu semakin meningkat dan ia seakan memberi isyarat bahawa sudah tiba masanya untuk kerajaan lebih serius dalam isu ini.

Kerajaan disaran menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk memperkasakan usaha konservasi penyu secara lebih mendalam demi menyelamatkan kemandirian haiwan terancam itu.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu Dr Mohd Uzair Rusli berkata kerajaan juga perlu menyediakan peruntukan dan tenaga pakar khusus dari pelbagai pihak.

Ini termasuk jabatan dan agensi kerajaan, universiti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan komuniti nelayan tempatan bagi menyokong usaha konservasi tersebut.

“Kita tidak boleh sekadar membuat kesimpulan mudah sahaja dengan pemeriksaan ringkas luaran penyu. Setiap kematian penyu perlu dibuat bedah siasat oleh pakar autopsi untuk melihat punca kematian sebenar secara saintifik.

“Selama ini hanya dua punca kematian yang kerap dilaporkan iaitu tertelan plastik dan lemas kerana terperangkap dalam pukat nelayan.

Dengan perkembangan sains sekarang, kita sebenarnya berupaya untuk mengetahui punca sebenar kematian dan menganggarkan di manakah kematian itu berlaku melalui permodelan lautan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, terdapat dua bangkai penyu Agar ditemukan terdampar di Pantai Batu Buruk dan Pantai Seberang Takir di Kuala Nerus, Terengganu.

Manakala dilaporkan juga satu kes seekor anak penyu Agar ditemui mati dipercayai akibat termakan plastik di Pantai Pulau Kerengga, Marang pada Khamis lalu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian penyu di Terengganu ialah lima kes sejak awal bulan ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata penubuhan jawatankuasa khas itu sangat penting. Hal ini kerana penyu memainkan peranan dalam mengekalkan kesihatan dan kestabilan ekosistem lautan, malah setiap spesis penyu mempunyai peranan yang tersendiri kerana diet mereka berbeza.

Usaha menyelamatkan penyu ini sama pentingnya dengan usaha mereka dalam memastikan kelestarian industri perikanan negara.

“Melihat kepada peningkatan kes kematian penyu, saya percaya ada ancaman sedang berlaku di lautan sana tetapi di luar pengetahuan kita.

Penubuhan jawatankuasa ini perlu untuk meningkatkan keupayaan kita mengetahui punca sebenar kematian, bagi menghentikan ancaman ini segera,” katanya.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca