Sanggup Lepaskan Status Kerabat Demi Cinta, Ini Kisah Puteri Mako

Anak saudara Maharaja Naruhito, Puteri Mako telah melepaskan statusnya sebagai kerabat diraja apabila beliau mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihan hati iaitu Kei Komuro pada 26 Oktober lalu.

Hal ini demikian kerana di bawah peruntukan undang-undang diraja Jepun, kerabat diraja wanita akan kehilangan status mereka apabila berkahwin dengan rakyat biasa.

Puteri Mako bersama keluarga. Sumber: The Japan Times

Berdasarkan keputusan Maharaja Naruhito dan Putera Mahkota Akishino, upacara dan ritual berkaitan perkahwinan tidak akan diadakan untuk Mako dan Kei berdasarkan pelbagai pendapat umum tentang perkahwinan mereka.

Memetik laporan Harian Metro, ini adalah kali pertama sejak berakhirnya Perang Dunia II tiada acara sebegitu diadakan untuk perkahwinan ahli keluarga diraja membabitkan wanita.

Atas kehendaknya sendiri, puteri sulung kepada Putera Mahkota Akishino (Fumihito) dan Puteri Mahkota Kiko itu turut menolak pemberian wang berjumlah 150 juta yen (RM5,447,968) daripada istana. Untuk pengetahuan anda, Mako merupakan anggota keluarga diraja Jepun pertama yang pertama menolak elaun perkahwinan tersebut.

Menerusi satu sidang akhbar yang diadakan pada 26 Oktober lalu, Mako memohon maaf bagi semua masalah yang tercetus akibat perkahwinannnya.

“Saya memohon maaf atas masalah yang tercetus dan amat berterima kasih kepada semua yang terus menyokong saya. Bagi saya, Kei tiada galang gantinya dan memutuskan bahawa kami perlu berkahwin,” jelasnya.

Kisah cinta Mako dan Kei

Kei dan Mako. Sumber: BBC

Kisah pasangan merpati dua sejoli ini bermula pada tahun 2012 apabila cucu perempuan kepada Maharaja Akihito itu melanjutkan pelajaran dalam bidang seni dan kebudayaan di Universiti Kristian Antarabangsa, Tokyo di mana beliau pertama kali bertemu dengan Kei.

Mako kemudiannya melanjutkan pengajian di University of Edinburgh, United Kingdom selama setahun sebelum menyambung pelajaran di University of Leicester dalam peringkat masters.

Selepas lima tahun bercinta, Mako bertunang dengan Kei pada tahun 2017 dan beliau kelihatan sangat bahagia pada waktu itu. Menurut Kei, Mako bagaikan ‘bulan’ baginya dan Mako pula menganggap Kei seperti ‘matahari’.

Walau bagaimanapun, pelbagai dugaan yang perlu mereka hadapi apabila media melaporkan bahawa keluarga Kei menghadapi masalah kewangan.

Pada tahun 2018, Kei akhirnya berpindah ke New York, Amerika Syarikat untuk melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang. Perkara ini dianggap sebagai salah satu cara untuk mengalihkan pandangan umum daripada mereka.

Pada September lalu, barulah Kei pulang ke Jepun tetapi dengan imej berambut ponytail yang mana sekali lagi mencuri perhatian ramai yang tidak suka dengan gaya bakal pengantin itu.

Mako dan Kei akan berpindah ke New York pada tahun hadapan di mana lelaki itu dilaporkan akan bekerja sebagai seorang peguam. Apa-apa pun, tahniah kami ucapkan kepada Puteri Mako dan Kei!

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca