Samsung Lancar ‘Smart TV’ Paling Besar Berharga RM299,999

Baru-baru ini, Samsung Malaysia Electronics (Samsung Malaysia) memperkenalkan televisyen pintar paling besar pernah dilancarkan syarikat berkenaan iaitu Samsung QLED 8K TV di mana ia bersaiz 98 inci dan dijual pada harga RM299,999 seunit.

Malah, ia juga boleh didapati pada saiz 82 inci yang dijual pada harga RM99,999 seunit manakala, bagi saiz 75 inci pula, anda boleh mendapatkannya pada harga RM59,999.

Menurut Pengarah Perniagaan Elektronik Pengguna Samsung Malaysia, Jimmy Tan Chee Wee, model baharu dengan skrin 8K itu menawarkan pengalaman tontonan yang lebih jelas dan berkualiti serta memberi dimensi baharu kepada segmen televisyen.

Antara kelebihan QLED 8K TV itu termasuklah ia dilengkapi Pemproses Kuantum, gambar yang dijanakan dengan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi semikonduktor pemprosesan bunyi untuk pengalaman hiburan yang lebih baik.

“Samsung menjadi peneraju global dalam segmen produk televisyen dalam tempoh 13 tahun ini dan sentiasa komited untuk menyampaikan produk berkualiti dan berinovasi tinggi kepada pengguna,” katanya.

“Memahami kehendak dan keperluan pengguna, kami memperkenalkan QLED 8K TV yang memberi era baharu kepada dunia televisyen dengan paparan lebih jelas dan besar melalui skrin 98 inci.”

“Model ini juga dilengkapi teknologi Sudut Pandangan Ultra yang akan membantu menghasilkan gambar dari setiap sudut dengan lebih baik tanpa silauan dan pantulan cahaya pada waktu siang,” ujarnya lagi.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca