Sampai Bila Pak Belang Akan Diburu? Harimau Malaya Kini Di Ambang Kepupusan

Harimau Malaya atau nama saintifiknya Phantera Tigris Jaksoni mendapat namanya daripada Peter Jackson iaitu seorang ahli konservatif harimau. Di Malaysia, haiwan ini lebih sinonim dengan jolokan Pak Belang dan hanya boleh ditemukan di negara ini sahaja.

Harimau Malaya memiliki berat badan antara 90 kilogram hingga 130 kilogram sekali gus menjadikannya sebagai spesis harimau yang paling kecil yang pernah mendiami muka bumi ini.

Malangnya, harimau ini telah dikategorikan sebagai antara haiwan yang hampir pupus oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN). Sekitar tahun 1950-an, Semenanjung Malaysia memiliki lebih 3,000 ekor Harimau Malaya yang mendiami kawasan tersebut. Namun begitu, terdapat hanya 150-200 ekor Harimau Malaya yang masih tinggal di negara ini.

Selain Harimau Malaya, terdapat lima sub-spesis harimau lain yang masih wujud iaitu Harimau Sumatra, Harimau Siberia, Harimau Bengal, Harimau Indo-China dan Harimau Amur. Tiga lagi subspesies harimau telah diisytiharkan pupus iaitu Harimau Bali, Harimau Caspian dan Harimau Jawa.

Bagi Harimau China Selatan pula, terdapat kemungkinan besar bahawa haiwan liar itu telah pupus ekoran tiada penemuan direkodkan semenjak 25 tahun yang lalu.

Faktor kepupusan

Salah satu sebab mengapa populasi Harimau Malaya semakin terancam adalah kerana pemburuan haram yang berleluasa. Pemburu yang tidak berhati perut ini mengambil keuntungan dengan menjual kulit, bulu dan daging harimau. Lebih malang lagi, terdapat segelintir manusia yang menjadikan tulang haiwan ini sebagai satu alternatif dalam perubatan tradisional mengakibatkan semakin banyak haiwan dibunuh demi memenuhi permintaan ini.

Selain itu, ancaman sumber makanan dan kemusnahan hutan juga menjadi antara penyebab berlakunya pengurangan populasi haiwan terbabit. Hal ini terjadi disebabkan oleh penebangan hutan secara tidak terkawal yang mengakibatkan makanan harimau menjadi semakin sedikit dan habitat asli mereka musnah.

Harapan buat Pak Belang

Walaupun dengan populasi yang semakin merudum, masih terdapat cahaya harapan buat simbol negara Malaysia ini.

Di Malaysia, terdapat dua individu yang telah diiktiraf sebagai mereka yang mempunyai kepakaran terhadap harimau. Salah seorangnya adalah Ketua Landskap Harimau Tabung Alam Malaysia (WWF-Malaysia), Dr. Mark Rayan Darmaraj.

Kira-kira 15 tahun lalu, dianggarkan terdapat lebih 500 ekor Harimau Malaya di Malaysia termasuk yang berada di Kompleks Hutan Belum Temenggor, Taman Negara Endau Rompin dan Taman Negara Pahang.

Menerusi kajian yang hanya tertumpu di Kompleks Hutan Belum Temenggor, terdapat sekurang-kurangnya 50 ekor harimau yang masih mendiami kawasan tersebut. Namun begitu, penurunan polisi sebanyak 50 peratus telah direkodkan pada tahun 2015.

Populasi harimau Malaya ini semakin diancam kepupusan yang teruk apabila jumlah haiwan karnivor itu kini dianggarkan sekitar 150-200 ekor sahaja di Malaysia. Sekiranya tindakan tidak diambil dengan segera, Harimau Malaya mungkin akan hilang buat selamanya dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Salah satu cara yang boleh dilakukan untuk memelihara populasi Harimau Malaya di negara ini adalah dengan meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dengan memperuntukan hukuman lebih setimpal, iaitu penjara melebihi 10 tahun dan denda sehingga RM5 juta bagi pemburu haram.

Menurut statistik terkini, bilangan haiwan liar terbabit semakin merudum walaupun mereka berada di dalam kawasan yang dilindungi akibat kerakusan pemburu haram yang tidak kenal erti empati dan kasih sayang terhadap haiwan.

Selain itu, pendidikan awal bagi kanak-kanak harus ditekankan di sekolah-sekolah untuk mendedahkan mereka tentang masalah ini.

Melindungi hidupan liar dan khazanah alam semula jadi bukanlah tanggungjawab agensi penguatkuasaan semata-mata. Sebaliknya, ia memerlukan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat dan komuniti tempatan.

Penulis
• Dovinni Mary Joseph adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
• Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan
Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Artikel Lain Untuk Di Baca