Sambung Atau Tamat PKPB?

Sejak 2 Jun lepas, kes positif COVID-19 dilihat semakin menurun ekoran kepatuhan rakyat Malaysia untuk terus duduk di rumah dan menjaga penjarakan sosial sekiranya perlu untuk keluar rumah. Persoalannya kini, adakah kerajaan perlu melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas 9 Jun depan?

Ini adalah persoalan yang kerap bermain di minda segenap lapisan masyarakat Malaysia yang terjejas secara langsung mahupun tidak langsung akibat virus pandemik COVID-19 ini.

Sementara itu, perlu diakui bahawa majoriti rakyat Malaysia sudah semakin dapat mengadaptasi sebahagian normal atau kelaziman baharu dalam kehidupan seharian.

Kita sudah memasuki pertengahan tahun 2020 dan jumlah pesakit yang direkodkan positif dijangkiti COVID-19 telah mencecah sehingga enam juta orang di seluruh dunia yang bermakna secara purata satu juta dijangkiti setiap bulan.

Untuk rekod, di negara ini PKPB bermula 4 Mei lalu menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac.

Tujuan PKPB dilaksanakan adalah untuk memberi kelonggaran kepada beberapa sektor untuk beroperasi semula bagi menggerakkan ekonomi negara. Namun, sejauh manakah keputusan tamat atau sambung PKPB memberikan implikasinya terhadap kehidupan dari aspek kesihatan, ekonomi dan sosial?

Pakar sosial Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, sebagai rakyat keutamaan kita adalah keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan secara keseluruhan.

“Bagi saya tarikh tamat adalah relatif. Apa yang paling penting kepastian apabila kita tidak melanjutkan PKPB adalah jaminan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

“Sekiranya keadaan itu tidak dapat dipastikan secara komprehensif atau yakin maka adalah wajar untuk pihak kerajaan mempertimbangkan melanjutkan PKPB.

“Kita sudah berada dalam landasan tepat, sekiranya kerajaan merasakan PKPB perlu dilanjutkan, dimohon masyarakat bersabar dan memahami rasional mengapa demikian,” jelas beliau.

Menurut pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) yang juga merupakan Pakar Virologi, Prof Dr. Sazaly Abu Bakar berpandangan bahawa PKPB mungkin perlu ditambah tempoh dua minggu lagi dengan banyak lagi sektor boleh dilonggarkan sekatan.

Ini adalah untuk memastikan tiada lagi kelompok pembawa virus yang tersorok atau kes sporadik tidak diketahui punca tersebar dalam komuniti.

Namun, pastinya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil kira setiap sudut pandangan sebelum mengumumkan sebarang keputusan kolektif untuk menyambung atau menamatkan PKPB selepas 9 Jun ini.

Walaupun beliau dikuarantin 14 hari sejak 22 Mei lalu namun, segala perkembangan terkini COVID-19 dilaporkan secara terperinci oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam pada itu, seluruh team Lejen Digital ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru orang ramai agar tetap mematuhi perintah kerajaan dalam mengekang penularan virus COVID-19. Untuk baca artikel-artikel lain berkaitan PKPB, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca