Sambal Nyet Ciplak, Khairul Aming Dedah Si Pelaku Sebenar

“Hey! What’s up, guys?” Siapa sahaja yang tidak kenal akan kalimat terulung yang seringkali didengar pada pembukaan video ini? Khairul Aming sangat dikenali sebagai seorang Cef selebriti di media sosial yang memuatnaik video resipi yang sememangnya menggiurkan.

Khairul Aming mengeluarkan sebuah produk yang bernama Sambal Nyet pada tahun lalu. Sambalnya itu sering kehabisan stok dan telah dijual hampir 4,000 balang setiap hari.

Pada hari Rabu yang lalu, Khairul Aming telah memuatnaik ciapan di Twitternya yang mengatakan bahawa dia telah mendapat beberapa aduan daripada pembeli yang mengatakan Sambal Nyet yang mereka beli itu rosak dan tidak boleh dimakan.

Hampir 700 botol Sambal Nyet palsu ini telah terjual kepada para pelanggan oleh seorang penjual yang mengaku sebagai reseller Sambal Nyet ini.

Katanya, dia sering mendapat DM daripada pelanggan yang mengadu bahawa sambal yang mereka beli itu berbuih tetapi dia menyedari ada sesuatu yang tidak kena daripada bungkusan serta rupa sambal yang mereka beli.

Para pelanggan ini dikatakan telah membeli Sambal Nyet yang dijual daripada seorang reseller di Shopee yang bernama Masturaaliyah. Rata-rata kesemua review di akaun Shopee tersebut mendapat satu bintang kerana sambal yang mereka beli itu basi, berair, pecah dan berbau busuk.

Khairul Aming telah menggunakan akaun Shopee kawannya untuk membeli sambal tersebut dan sambal itu terbukti palsu.

Buktinya, pelekat serta poskad yang digunakan itu sememangnya berlainan daripada Sambal Nyet yang asli kerana telah dicetak semula.

Tekstur Sambal Nyet palsu tersebut juga dikatakan berlainan dan mempunyai bau minyak goreng ikan yang busuk dan cili yang berkeladak.

Khairul Aming telah merayu kepada semua pengikutnya di Twitter agar tidak membeli dari reseller kerana hal ini telah menyulitkan keadaannya sebagai seorang penjual dan dia tidak mahu orang ramai tertipu.

Cef selebriti media sosial ini akhirnya berjaya menemukan si pelaku sebenar di sebalik akaun Shopee Masturaaliyah tersebut.

Individu tersebut akhirnya tampil bertemunya setelah nama, alamat dan nombor telefonnya didedahkan oleh Khairul Aming di laman Twitternya itu.

Khairul Aming mengatakan bahawa dia telah membuat tiga tuntutan terhadap individu tersebut.

Pertama sekali, wanita tersebut harus membayar pampasan tunai. Meskipun demikian, duit tersebut tidak akan dipulangkan kepada pembeli kerana proses pemulangan wang ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Sebaliknya, wang pampasan ini tidak akan dia ambil malah 100 peratus duit tersebut akan diberikan kepada asnaf yang memerlukan pada bulan puasa ini.

Kedua, wanita itu dikehendaki untuk memuatnaik sebuah video permohonan maaf secara umum. Wanita itu telah meminta maaf dan mengakui kesilapannya yang menciplak kandungan sambal serta rekaan botol Sambal Nyet melalui sebuah video.

Tuntutan ketiga adalah kenyataan pengakuan salah di balai polis. Individu tersebut dikatakan telah pergi ke Balai Polis Damansara dan membuat pengakuan bertulis di situ. Setiap maklumat dan pengakuan salahnya telah dicatatkan dalam laporan polis.

Tambahnya lagi, akaun kedai si pemalsu tersebut telahpun disekat daripada Shopee walaupun namanya sudah ditukar dari Masturaaliyah ke DK Perfume Shop.

Khairul Aming menasihati para pengikutnya di Twitter agar tidak mudah tertipu dan tidak membeli Sambal Nyet yang dijual daripada reseller.

Warganet juga merasa kagum dan memujinya atas kepantasan Khairul Aming dalam bertindak dan berjaya dalam menangkap si pelaku sebenar Sambal Nyet ciplak tersebut.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca