Keluarga Nora Anne Quoirin mempunyai hak untuk meminta proses bedah siasat kali kedua dilakukan ke atas mayat remaja berusia 15 tahun itu di luar negara.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan iaitu Dr Lee Boon Chye, pihaknya tiada masalah sekiranya proses tersebut dijalankan dan ia sama sekali tidak akan menjejaskan reputasi pakar patologi negara yang melakukan bedah siasat sebelum ini.
“Itu terpulang kepada mereka (keluarga) dan ia adalah hak mereka untuk buat bedah siasat kali kedua di luar negara.”
“Apa yang saya tahu keluarga sudah tuntut mayatnya (Nora Anne) dan terpulang kepada mereka untuk buat siasatan selanjutnya,” katanya seperti yang dilaporkan Harian Metro.
Tambahnya lagi, pihaknya memang yakin dengan profesionalisme pakar patologi yang menjalankan bedah siasat kali pertama terhadap mayat remaja warga Ireland itu.
“Ini (bedah siasat kedua) tidak akan menggoyahkan keyakinan kita terhadap pakar patologi negara kita yang menjalankan bedah siasat itu,” katanya.
Walau bagaimanapun, media tempatan melaporkan pihak polis mengesahkan bahawa mereka tidak menerima sebarang permintaan ataupun dimaklumkan mengenai bedah siasat kedua terhadap mayat Nora Anne daripada mana-mana pihak.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan iaitu Datuk Mohamad Mat Yusop, sehingga kini Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dimaklumkan mengenai prosedur berkenaan selepas bedah siasat pertama selesai pada 14 Ogos lalu.
Terdahulu, Daily Mirror melaporkan bahawa ibu bapa Nora Anne dipercayai meminta proses bedah siasat kedua dijalankan terhadap anak sulung mereka itu.
Difahamkan, ketika ini Maebh Jaseprine Quoirin dan suaminya iaitu Sebastian Marie Philipe sedang berbincang dengan pihak berkaitan bagi memastikan pakar patologi tidak terlepas pandang sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan punca kematian remaja tersebut. Mereka dilaporkan meminta bedah siasat itu dilakukan di Britain atau Perancis.
Remaja istimewa itu datang ke Malaysia untuk bercuti bersama keluarga selama dua minggu. Mereka tiba di sini pada 3 Ogos lalu dan menginap di Resort The Dusun Pantai Hill.
Menurut keluarga mangsa, anak mereka itu sudah tiada di bilik penginapan sekitar jam 8 pagi pada Ahad sebelum operasi pencarian dilancarkan.
Mayatnya ditemui kira-kira jam 1.57 tengah hari Selasa tanpa seurat benang berhampiran anak sungai di kawasan berlurah iaitu kira-kira 2.5 kilometer dari resort penginapan keluarganya. Difahamkan, pasukan SAR sebelum ini sudah pun cuba menjejaki Nora Anne di lokasi tersebut.
Laporan bedah siasat mendapati punca kematian Nora Anne adalah disebabkan kebocoran usus ekoran tidak makan dalam tempoh yang lama. Pada masa yang sama, bedah siasat juga mendapati tiada kesan dirogol atau perbuatan jenayah lain seperti dilarikan atau diculik.