Saluran Telegram ‘Agama BTS’ Tular Di Media Sosial, Army Malaysia Tampil Jelaskan Perkara Sebenar

Kecoh di Twitter apabila tularnya satu tangkap layar di mana wujud satu saluran telegram ‘Agama BTS’ yang mempunyai seramai 4,030 ahli di dalamnya.

Lebih mengejutkan lagi, apabila individu yang mencipta saluran tersebut membuat ‘rukun agama’ BTS yang sememangnya terpesong daripada agama Islam.

Semestinya apabila tular, ia menjadi bualan hangat dalam kalangan warganet yang rata-rata mengecam tindakan peminat kumpulan terkenal dari Korea Selatan itu.

Tinjauan kami di media sosial mendapati beberapa peminat BTS yang digelar sebagai Army telah memuat naik ciapan yang mengatakan peminat dari Malaysia tidak masuk campur dalam saluran telegram itu. Malah, hanya sekumpulan kecil sahaja yang memasuki saluran itu.

Mereka juga menyangkal saluran tersebut dibuat oleh individu yang meminati kumpulan tersebut. Sebaliknya, ia dicipta oleh individu yang cuba untuk merosakkan nama BTS dan Army di Malaysia.

Susulan itu, BTS Army telah membuat keputusan untuk menghantar aduan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kerana tidak mahu saluran itu tersebar dan biarkan diri mereka terus difitnah.

Kumpulan BTS merupakan kumpulan terkemuka di Korea Selatan di bawah naungan syarikat Bighit Entertainment yang merangkumi tujuh orang ahli. Mereka mempunyai peminat yang ramai sepertimana kita boleh lihat melalui hasil jualan album mereka Map of the Soul: 7 yang berjaya memecah rekod hanya dalam masa beberapa jam sahaja selepas diterbitkan dengan 3.37 juta jualan pada minggu pertama. 

Apa-apa pun, sebagai peminat yang beragama Islam kita wajib menjaga batas dan menahan diri daripada terlalu taksub dengan sesuatu sehingga mempermainkan agama. Jadikan ini sebagai pengajaran kepada semua dan hentikan diri daripada membuat perkara yang boleh merosakkan imej agama.

Tidak kiralah sama ada anda peminat atau haters, agama jangan sesekali dipermainkan.

Untuk membaca artikel lain berkaitan BTS, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca