Saling ‘Unfollow’ Di Instagram, Aliff Syukri Nafi Rumah Tangga Goyah

Selepas nama Datuk Seri Aliff Syukri menjadi bualan ramai kerana terpalit dalam pelbagai kontroversi baru-baru ini, rumah tangga yang dibina bersama Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid pula didakwa goyah.

Spekulasi itu timbul apabila Aliff dan Shahida kelihatan tidak lagi mengikuti akaun Instagram masing-masing.

Walau bagaimanapun, apa yang menguatkan lagi desas-desus keretakan rumah tangga mereka ialah Aliff tampil dengan single baharu iaitu Cuba Bahagia.

Memetik laporan Berita Harian, Cuba Bahagia ialah ciptaan usahawan kosmetik itu sendiri di mana ia membayangkan kisah lelaki yang mendambakan kebahagiaan daripada insan disayangi lebih-lebih lagi ketika berhadapan tekanan hidup. Hasil nukilan terbaharu penyanyi lagu Bobo Di Mana ini turut dicipta sejak enam bulan lalu.

Aliff menjelaskan, “Hubungan saya dan isteri (Shahida) baik-baik sahaja. Tiada apa-apa berlaku antara kami.”

“Saya tidak mahu komen persoalan kenapa kami saling tidak follow di IG. Apabila bercakap mengenai bahagia, ia sangat subjektif tetapi sudah tentu saya mahukan kebahagiaan bersama keluarga dan anak-anak,” tambahnya.

Menurut Aliff lagi, “Saya melalui pasang surut dalam kehidupan. Tekanan kerja, bisnes, warganet dan keluarga, ia ibarat pakej lengkap dalam hidup saya. Jujurnya, saya memerlukan orang kuat berada di sisi saya.”

Walau bagaimanapun, usahawan kosmetik terkenal itu mengesahkan bahawa lagu Cuba Bahagia tiada kaitan dengan krisis rumah tangga atau sesiapa pun.

Menurut Aliff, “Kalau boleh, saya tidak mahu menyentuh mengenai keluarga dan isteri kerana mereka turut terbabit dalam lagu ini. Selebihnya, biarlah saya simpan kerana tak mahu warganet menuduh saya menagih simpati.”

Dalam pada itu, penyanyi lagu Bobo Di Mana itu berkata bahawa dia hampir mengambil nyawanya sendiri kerana terlalu tertekan.

Jelasnya, “Minggu ini adalah fasa paling sedih dan tertekan bagi saya. Hakikatnya, saya berpura-pura boleh berdiri tetapi roh saya sudah tiada. Apa-apa pun, saya teruskan juga. Selama 12 tahun dihina dan dimaki, perjalanan hidup saya bukannya mudah.”

Tambahnya, “Dalam diri saya tersimpan segunung kepahitan dan derita yang orang tidak nampak. Ketika berada di puncak, orang berlumba-lumba mahu menjatuhkan saya. Saat itu, saya berhadapan dengan semuanya sendirian.”

Mengulas lagu Cuba Bahagia, Aliff berkata bahawa single itu bukan bertujuan membuka aib hubungannya dengan isteri.

Jelasnya, “Saya tidak aibkan keluarga, jauh sekali menyindir sesiapa. Saya bahagia dengan perkahwinan dan anak. Lagu ini ditujukan buat insan yang tidak bahagia.”

“Adakala, hidup saya tidak mendapat sokongan orang sekeliling. Jadi, air mata darah yang dipaparkan dalam video muzik ini menceritakan apa yang saya rasa dan lalui hari ini,” ujarnya.

Untuk dijadikan cerita, Aliff menjelaskan bahawa Cuba Bahagia ini adalah luahan hatinya dan bukannya gimik untuk meraih perhatian.

Aliff berkata, “Lagu ini saya tulis ketika sedang bersedih jadi ia seperti luahan hati. Dahulu waktu susah, saya fikir apabila ada duit, kita akan bahagia tetapi sebenarnya tidak.”

Tambahnya, “Sekarang saya sedar apabila berduit, saya akan hilang banyak benda seperti kawan, masa, privasi dan lama-kelamaan, bahagia juga makin berkurangan.”

Selain itu, “Saya rasa makin sukar untuk mendapat bahagia. Jadi, saya cipta lagu ketika jiwa saya bersedih. Bahagia terlalu mahal, tak boleh dijual beli dengan wang. Itulah yang cuba disampaikan dalam lagu ini.”

Usahawan kosmetik itu turut mengesahkan bahawa lagu itu bukannya dihasilkan untuk meraih keuntungan dan jumlah tontonan di laman YouTube.

“Orang nak tengok tetapi kecam saya jadi baik tak payah buat. Saya kini mahu fokus pada perniagaan dan mahu melebarkannya lebih jauh. Saya perlu menjaga periuk nasi 400 pekerja, itu lebih penting,” katanya.

Sementara itu, Aliff enggan mengulas dakwaan memukul dan mencubit anak angkat berusia dua tahun.

Akhir kata, “Jujurnya, saya tak tuju lagu ini kepada mana-mana individu. Saya tujukan kepada mereka yang sedang mencari kebahagiaan. Saya tahu ramai berkongsi perasaan yang sama. Lagu ini bukan gimik meraih perhatian, sebaliknya hanya luahan rasa.”

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan Aliff Syukri, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca