Sakit Kepala Lebih 3 Hari Perlu Pemeriksaan Lanjut

Mungkin ada yang terfikir sakit kepala yang sedang dideritai berpunca daripada ketumbuhan di dalam otak atau kanser. Ini menyebabkan ramai yang kerap sakit kepala mahu menjalani ujian imbasan atau sinar-X untuk mengesan tumor atau kanser. Pakar Perunding Kanan Neurologi, Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM PPUKM), Prof Datuk Dr Raymond Azman Ali, berkata ketumbuhan tidak menyebabkan sakit kepala terlalu lama kerana lazimnya serangan cepat membesar dan membawa maut.

Ujian ini kata beliau, tidak perlu kecuali sekiranya ada tanda amaran atau ‘red flag’ menunjukkan ada disfungsi pada otak seperti epilepsi, pertukaran personaliti daripada pendiam kepada ceria atau sebaliknya, lemah separuh badan atau pertuturan yang tidak teratur.

“Otak juga tidak ada deria rasa sekiranya terdapat ketumbuhan atau barah kecuali ketumbuhan besar, terkena tulang, selaput otak (meninges) atau saluran darah dalam otak,” katanya.

Sakit kepala empat jam hingga tiga hari.Sakit kepala yang datang dan hilang sepenuhnya dalam jangka masa empat jam sehingga 72 jam (tiga hari) berkemungkinan besar disebabkan migrain.

Migrain, sejenis penyakit saraf paling kerap menyebabkan sakit kepala tetapi sering kali tidak dapat dikenal pasti.

Kebanyakan pesakit beranggapan serangan tidak boleh disembuhkan dan rela menanggung kesakitan sepanjang hayat termasuk makan ubat menahan sakit.Hakikatnya terdapat rawatan untuk mencegah serangan migrain yang boleh mengganggu aktiviti harian.

Kajian mendapati golongan wanita kerap mengalami migrain dengan kekerapan kira-kira 25 peratus.
Ini bermakna 25 peratus wanita pernah sakit migrain sekurang-kurangnya sekali sepanjang hayat berbanding lelaki, lima sehingga tujuh peratus.

Migrain berlaku apabila salur darah di dalam otak berkembang. Secara purata, 15 peratus wanita dan lelaki pernah mengalami migrain dengan usia paling kerap adalah remaja sehingga 30-an.

Sakit kepala disebabkan perubahan hormon. Sehingga kini tidak diketahui apakah punca migrain tetapi dalam kalangan gadis dan wanita, serangan itu mempunyai kaitan dengan pertukaran hormon.

Keadaan ini dikenali sebagai Migrain Catamenial yang mana migrain boleh berlaku beberapa hari sebelum haid atau ketika haid. Migrain yang dialami biasanya hilang apabila seseorang wanita mengalami putus haid atau menopaus.
Migrain adalah penyakit ‘orang bandar’ yang dihasilkan oleh manusia sendiri akibat tekanan hidup.

Tetapi seandainya anda kerap mengalami migrain seeloknya anda berjumpa dengan doktor dan dapatkan rawatan yang bersesuaian.

Artikel Lain Untuk Di Baca