“Sajat Perlu Dinasihati Secara Baik”, Mufti Perlis Kesal Usahawan Sensasi Terus Dihukum

Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menyuarakan rasa terkilannya apabila orang ramai terus menghukum usahawan kosmetik sensasi, Muhammad Sajad Kamaruzaman atau lebih dikenali dengan panggilan Nur Sajat.

Ia susulan daripada isu Nur Sajat yang memakai pakaian menyerupai jemaah wanita semasa menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci.

Menurutnya, tindakan ahli perniagaan itu salah di sisi agama kerana berpakaian menyerupai wanita. Namun begitu, umat Islam perlulah menasihatinya secara baik dan tidak terus menghukum dengan mengatakan Sajat dilaknat Allah.

“Ia adalah satu tindakan yang tidak tepat dari segi agama,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof turut menyuarakan rasa kesal dengan tindakan Sajat yang dikatakan telah mencemarkan imej Islam.

Dalam pada itu, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ibadat yang dilakukan oleh golongan transgender beragama Islam masih lagi sah meskipun fizikal asal individu itu sudah ditukar.

Walau bagaimanapun, beliau menambah, Islam menghalang tasyabbuh (kesamaran) identiti, kerana ia melibatkan banyak perkara khususnya hal-hal berkaitan ibadat.

“Apa yang penting adalah individu transgender perlu lebih berhati-hati ketika melakukan pergaulan di masjid di mana mereka haruslah bergaul dengan golongan daripada jantina asal sahaja,” terangnya.

Di Kuantan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akan mengeluarkan kenyataan susulan tindakan usahawan kosmetik itu yang memakai telekung semasa mengerjakan umrah tular di laman sosial.

Menurutnya, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sudah diminta untuk memberikan kenyataan kerana dilihat lebih layak dalam hal berkenaan.

Terdahulu, Nur Sajat menjadi tular di media sosial susulan berkongsi gambar dirinya dan keluarga sedang menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci. Apa yang menarik perhatian warganet terutama sekali umat Islam adalah cara pemakaian usahawan kontroversi itu yang menyarung telekung bak jemaah wanita lain.

Untuk membaca artikel lain berkaitan isu Nur Sajat di Tanah Suci, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca