“Saja Mahu Larikan Diri”, Peguam Ini Syak Keluarga Nora Anne Ada Kaitan Dengan Kematian Anak Mereka

Percutian di Malaysia yang sepatutnya menjadi kenangan indah bertukar menjadi tragedi buat remaja perempuan warga Ireland iaitu Nora Anne Quoirin yang hilang sebelum ditemui mati tidak jauh dari resort penginapan keluarganya.

Berdasarkan laporan bedah siasat, pihak polis telah mendapati bahawa punca kematian gadis berusia 15 tahun itu adalah disebabkan kebocoran usus ekoran tidak makan dalam tempoh yang lama.

Walau bagaimanapun, seorang peguam iaitu Anne Brenna yang juga merupakan seorang aktivis kanak-kanak telah mendakwa bahawa keluarga Nora Anne terang-terang berusaha untuk menghalang keadilan bagi kematian darah daging mereka itu.

Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Anne mengatakan bahawa pengumuman keluarga tersebut untuk meninggalkan Malaysia bersama dengan jasad Nora Anne sangat mencurigakan.

Pada masa yang sama, Anne juga mendakwa yang kedua-dua ibu bapa Nora Anne iaitu Maebh Jaseprine Quoirin dan Sebastian Marie Philipe tergesa-gesa keluar dari Malaysia sebaik sahaja mereka menerima jaminan bahawa penglibatan mereka dengan kehilangan serta kematian gadis itu tidak akan disiasat.

“Mereka berjaya meyakinkan pihak berkuasa di Malaysia untuk mengabaikan siasatan bunuh terhadap Nora Anne dan melepaskan jasad remaja itu tanpa menunggu keputusan toksikologi yang sangat penting dalam siasatan jenayah,” coretnya.

Bukan itu sahaja, Anne juga menyentuh soal keberadaan keluarga itu beberapa jam sebelum anak mereka dilaporkan hilang memandangkan ia tidak pernah diberitahu mereka.

Pihak polis juga mengesahkan bahawa tiada bukti yang menunjukkan rumah mereka dipecah masuk oleh pihak ketiga pada malam Nora Anne dilaporkan hilang.

Menurut laporan FMT, badan kebajikan yang menyokong keluarga Nora Anne telah menolak sekeras-kerasnya tuduhan peguam tersebut yang mendakwa mereka dalang di sebalik kematian tragis gadis itu.

Walau bagaimanapun, Matthew Searle selaku pengarah badan kebajikan tersebut enggan memberikan apa-apa komen terhadap tuduhan itu. Matthew juga tidak memberitahu sekiranya keluarga Nora Anne akan mengambil apa-apa tindakan terhadap dakwaan tersebut.

Difahamkan, keluarga Nora Anne telah pun pulang ke negara mereka dan perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Polis Negeri Sembilan iaitu Mohamad Mat Yusop.

Untuk rekod, Nora datang ke Malaysia untuk bercuti bersama keluarga selama dua minggu. Mereka tiba di sini pada 3 Ogos lalu dan menginap di Resort The Dusun Pantai Hill. Menurut keluarga mangsa, anak mereka itu sudah tiada di bilik penginapan sekitar jam 8 pagi pada Ahad sebelum operasi pencarian dilancarkan. Mayatnya ditemui kira-kira jam 1.57 tengah hari Selasa.

Artikel Lain Untuk Di Baca