Saintis UK Ini Letak Jawatan Selepas ‘Kantoi’ Langgar Perintah Penjarakan Sosial

Profesor Neil Ferguson mengundurkan diri daripada menjadi panel utama dalam mengendalikan wabak COVID-19 di United Kingdom selepas mengaku bahawa dia tidak mematuhi perintah penjarakan sosial.

Ahli epidemiologi itu merupakan salah seorang ahli dalam kumpulan penasihat kerajaan yang membantu United Kingdom dalam menyelaraskan tindak balas terhadap pandemik.

“Saya terima bahawa saya telah membuat kesilapan dan mengambil tindakan yang salah. Saya sangat menyesal kerana telah merosakkan mesej yang jelas mengenai kepentingan menjaga penjarakan sosial untuk membendung penularan wabak ini,” ujarnya.

Saintis itu berkata bahawa dia telah meletakkan jawatan daripada menjadi salah seorang ahli dalam Kumpulan Penasihat Ilmiah untuk Darurat British. Pengunduran dirinya itu turut disahkan oleh jurucakap kerajaan United Kingdom.

Keputusan Neil itu diambil susulan laporan Daily Telegraph menyatakan seorang wanita datang ke rumahnya di London sebanyak dua kali semasa perintah berkurung dikuatkuasakan di negara tersebut.

“Saya terlalu yakin bahawa saya kebal daripada wabak meragut nyawa ini tetapi saya kini positif COVID-19 selepas menjalani ujian. Saya sedang mengasingkan diri selama dua minggu setelah mengalami gejala tersebut,” tambahnya.

Sementara itu, Perdana Menteri United Kingdom iaitu Boris Johnson yang pernah disahkan positif COVID-19 sebelum ini memerintahkan perintah berkurung untuk tiga minggu pertama pada 23 Mac lalu.

Untuk rekod, United Kingdom mencatatkan 201,101 kes positif COVID-19 manakala 30,076 tewas kepada wabak tersebut sehingga ke hari ini.

Sebagai peringatan, rakyat Malaysia diminta untuk mematuhi arahan kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dilaksanakan kerana kesihatan anda dan orang sekeliling perlu menjadi keutamaan sepanjang masa.

Untuk membaca lebih banyak artikel berkaitan COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca