Saint Of Bailovo, Pengemis Yang Mengemis Demi Membantu Orang Lain

Seorang lelaki tua yang berasal dari Bailovo, Bulgaria, ini bernama Dobri Dobrev atau digelar sebagai ‘Saint of Bailovo’. Gelaran ini disebabkan oleh penampilannya yang ringkas, cara hidup yang tidak mementingkan diri dan sentiasa menghambakan diri demi melakukan kebaikan.

Dobrev telah menghabiskan masa untuk mengemis di Sofia, ibu negara Bulgaria bagi mengumpul dana untuk membantu mereka yang memerlukan.

Dia dilahirkan di sebuah kampung di Bailovo pada tahun 1914. Dobrev berkahwin ketika Bulgaria terlibat dalam Perang Dunia Kedua. Dia mempunyai empat orang anak, dua daripada mereka telah meninggal dunia.

Ketika pengeboman berlaku di Sofia, sebutir bom jatuh berhampiran Dobrev dan telah menyebabkan dia kehilangan deria pendengaran.

Selama bertahun-tahun, Dobrev telah mengasingkan diri daripada kepentingan dunia untuk mendekatkan dirinya dengan agama khususnya kepercayaan Kristian Ortodoks.

Pada tahun 2002, Dobrev memutuskan untuk mendermakan semua harta kepunyaannya kepada gereja Ortodoks dan memulakan hidup sederhana. Dia tinggal dalam sebuah bilik kecil yang bersambung dengan Gereja St. Cyril dan Methodius di kampungnya di Bailovo.

Dobrev sering meminta sedekah supaya dia dapat menggunakan sumbangan orang ramai itu untuk didermakan kepada orang yang memerlukan. Apa yang mengagumkan ialah dia yang berusia 100 tahun pada 2014 sanggup berjalan sejauh 20 km sehari untuk meminta sedekah.

Dia memakai pakaian dan kasut buatan sendiri itu sering dilihat di hadapan Cathedral of Alexander Nevsky di Sofia untuk mengutip derma bagi badan amal, gereja, rumah anak yatim dan biara. Dobrev akan sentiasa berterima kasih kepada mereka yang menderma.

Sepanjang usahanya, Dobrev telah menderma lebih daripada RM100,000 kepada beberapa badan amal di seluruh Bulgaria. Dia sering memberitahu bahawa dia ingin melakukan kebaikan bagi menebus segala dosa-dosa yang dilakukan pada masa lampau.

Pada 13 Februari 2018, Dobrev telah menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika berusia 104 tahun. Kini, jasadnya dipamerkan di Gereja St. Cyril dan Methodius di mana dia tinggal sejak tahun 2000. Ramai penganut Kristian dari seluruh negara datang ke gereja di Bailovo itu untuk memberi penghormatan kepada Dobrev.

Perbuatan baik yang dilakukanya menjadi contoh kepada seluruh masyarakat di dunia.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca