Legenda bola sepak dunia, Ruud Gullit berpendapat bahawa Matthijs de Ligt harus mengelak daripada menyertai Manchester United dan memberikan keutamaan kepada pilihan untuk kekal beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Selain Manchester United, beberapa kelab Eropah lain seperti Liverpool dan Barcelona turut dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmat bintang muda Ajax Amsterdam itu.
“Saya tidak berasakan Man United, mereka tidak bermain dalam UCL,” ujar Gullit.
“Saya berasakan dia mahu bermain dalam UCL. Jadi, ia sesuatu yang kurang bernasib baik buat United.”
“Bagaimanapun, segalanya terletak kepada pemain itu dan saya berharap dia melakukan keputusan yang tepat.”
Ajax gah menjuarai dua gelaran musim lalu di samping melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah 2018/19 dengan Matthijs de Ligt menjadi antara tonggak utama pasukan sepanjang musim yang cukup cemerlang untuk kelab dari ibu kota Belanda itu.
Pemain muda itu telah berjaya merangkul anugerah ‘Golden Boy’ pada 2018, melengkapkan musim yang cukup cemerlang untuk beliau.
Sementara itu, De Ligt memaklumkan bahawa beliau dipelawa oleh Cristiano Ronaldo untuk menyertai Juventus pada musim hadapan selepas tamat perlawanan di antara Portugal dan Belanda dalam aksi final Liga Negara-Negara Eropah yang memihak kepada Portugal dengan keputusan 1-0.
Ronaldo dilihat bercakap dengan de Ligt sejurus selepas perlawanan itu berakhir.
“Pada mulanya saya tak berapa faham. Saya agak terkejut, jadi saya ketawa, namun saya tak kata apa-apa.”
“Sejurus tamat perlawanan anda langsung tidak peduli dengannya, anda kecewa atas kekalahan dan hanya itu sahaja perkara yang difikirkan.”