Russi Taylor, Pemilik Suara Minnie Mouse Meninggal Dunia Pada Usia 75 Tahun

Pemilik suara yang melakonkan watak Minnie Mouse iaitu Russi Taylor dilaporkan telah meninggal dunia pada usia 75 tahun.

Berdasarkan kenyataan syarikat Walt Disney, pelakon veteran yang membawa suara watak kartun Disney selama lebih 30 tahun itu menemui ajal di Glendale California pada Jumaat lepas.

Sejak tahun 1986, Taylor turut memberi khidmat alih suara untuk beberapa siri televisyen, filem dan taman tema animasi yang menampilkan Minnie Mouse, lapor Astro Awani.

Selain Minnie Mouse, mendiang yang merupakan isteri kepada Wayne Allwine iaitu pemilik suara asal watak Mickey Mouse turut menyumbang suara kepada salah satu watak dalam The Simpsons iaitu Martin yang merupakan rakan sekelas Bart Simpson.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, Pengerusi dan Ketua Eksekutif Disney iaitu Bob Iger tampil memberi penghormatan terakhir kepada Taylor.

“Selama lebih dari 30 tahun, Minnie dan Taylor bekerjasama untuk menghiburkan berjuta-juta peminatnya di seluruh dunia. Ia menjadikan Minnie sebagai ikon global dan Taylor sebuah legenda Disney yang dikasihi peminat di serata dunia,” kata Iger.

Untuk rekod, Taylor yang dilahirkan di Cambridge, Massachusetts pada 4 Mei 1944 telah terpilih untuk membawa suara Minnie menerusi satu uji bakat yang diadakan pada tahun 1986. Taylor berjaya menyingkirkan 200 calon lain.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca