Penyanyi ternama Dato’ Sri Siti Nurhaliza meluahkan rasa segan dan terharu selepas lagu runut bunyi (OST) untuk filem Anwar: The Untold Story dendangannya meraih pujian Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Memetik laporan Kosmo, penyanyi berkenaan mengaku bahawa reaksi Anwar yang meluahkan rasa teruja terhadap lagu Menjaga Cintamu itu mencetuskan pelbagai emosi dalam dirinya.
Reaksi Siti

Siti rasa terharu, gembira dan dalam masa sama turut berasa malu-malu dengan pujian Anwar. Walau bagaimanapun, Siti bersyukur telah menjalankan amanah komposer dan penulis lirik lagu berkenaan dengan sehabis baik.
“Sebenarnya saya segan tapi rasa sangat bersyukur. Alhamdulillah bermakna usaha dan karya ciptaan Andi Rianto yang dihasilkan khusus untuk filem ini mencapai matlamatnya.
Sejujurnya terselit juga rasa gementar namun pada waktu sama terharu dengan penerimaan serta maklum balas positif PM (Perdana Menteri) terhadap lagu ini. Insya-Allah Menjaga Cintamu bakal dimuatkan dalam album terbaharu saya yang bakal disempurnakan tahun ini,” ujarnya.

Penyanyi Bukan Cinta Biasa itu mengaku bahawa dia meminta peluang kepada penerbit untuk menonton filem biopik berkisar perjuangan Anwar terlebih dahulu sebelum memasuki studio rakaman.
Menurut Siti lagi, pemahaman tentang plot pengkisahan sesebuah naskhah itu membolehkannya untuk lebih menghayati karya ciptaan komposer Indonesia Andi Rianto dan liriknya hasil ilham Sekar Ayu Asmara dengan baik.
“Lagu ini didedikasikan untuk tokoh yang banyak berkorban di samping isterinya yang sering bersabar dan banyak menahan perasaan sepanjang perjuangan mereka. Saya berterima kasih kepada pihak produksi kerana memilih saya untuk menyampaikan lagu ini,” ujar Siti.
Sinopsis Anwar: The Untold Story

Dibintangi Farid Kamil, Acha Septriasa dan Hasnul Rahmat, filem Anwar: The Untold Story ini mengimbas perjuangan Perdana Menteri ke-10 Anwar Ibrahim dalam kancah politik ketika mula menjawat jawatan Menteri Kewangan dari tahun 1991 sehingga dipecat pada 1998.
Filem biopik arahan pengarah Indonesia Viva Westi yang diusahakan pembikinannya sejak 2011 dengan menelan belanja sebanyak RM10 juta dan bakal ditayangkan di panggung wayang seluruh negara bermula 18 Mei (Khamis) ini.

Selain Farid Kamil yang memegang watak utama, filem yang diarahkan oleh Viva Westi ini turut menampilkan Acha Septriasa sebagai isteri Anwar iaitu Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Hasnul Rahmat sebagai Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Anda boleh tonton video di bawah.
Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah: