Rundingan Lanjutan Kontrak Tergantung, PSG Mahu Beli Sergio Ramos

Real Madrid sentiasa tidak gagal untuk memiliki pemain-pemain ikonik yang bermain untuk mereka sejak dahulu lagi. Adalah adil untuk mengatakan bahawa Sergio Ramos akan dianggap salah seorang daripada nama besar tersebut dalam kalangan mereka pada masa akan datang. Kelibat yang akan dirindui oleh Madridista sama seperti rindunya mereka pada figura ikonik Real Madrid seperti Zidane, Raul, Roberto Carlos, Redondo, Ronaldo tua dan ramai lagi.

Pertahanan Sepanyol yang semakin matang bersama Los Blancos sejak tahun 2005 ini telah memainkan peranan penting dalam kejayaan Real Madrid lebih sedekad yang lalu. Ramos boleh dikatakan adalah denyut nadi penting Real Madrid; beraksi keras lagak seorang jeneral bengis di tengah benteng pertahanan dengan lilitan kapten di lengan.

Walau bagaimanapun, beliau tidak lama lagi mungkin angkat kaki dari Santiago Bernabeu. Mungkin.

Menurut laporan Don Balon, PSG bersedia melancarkan bidaan bernilai tinggi untuk mendapatkan pertahanan kental Los Blancos itu. Sergio Ramos dikatakan menjadi sasaran utama untuk mereka dapatkan dalam membantu misi mereka mengejar kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah yang belum kunjung tiba di Paris sejak mereka dimiliki oleh Qatar Sports Investments pada 2011.

Dikhabarkan Sergio Ramos sedang berunding untuk pembaharuan kontrak dengan nilai pendapatan tidak kurang dari RM84 juta (€18m) setahun dan mahukan gajinya tidak kurang dari siapa saja ‘superstar’ yang mungkin akan dibawa masuk oleh Real Madrid semasa jendela perpindahan menjelang musim baru nanti.

Ya. Di sinilah PSG nampak ruang dan peluang. Dengan wang yang berkepuk di dalam bank mahupun di luar bank, permintaan gaji dengan nilai yang diminta oleh Sergio Ramos bukanlah masalah buat mereka untuk membawa Sergio Ramos bermain di bandaraya yang terkenal dengan Eiffel Tower itu.

Sementara itu, Sergio Ramos dipercayai ingin terus kekal di Madrid untuk berjuang dan beraksi bersama Los Blancos, namun mungkin terpaksa membuat pilihan yang ‘pedih’ jika permintaannya tidak dapat ditunaikan oleh kelab.

Artikel Lain Untuk Di Baca