Rosmah Mansor Masuk Hospital Selepas Alami Sakit Belakang Dan Tengkuk

Masalah sakit belakang dan tengkuk yang sangat serius dilaporkan menjadi faktor isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur lewat malam semalam.

Memetik laporan portal Malaya Post, Rosmah ditemani Datuk Seri Najib Abdul Razak semasa dimasukkan ke hospital iaitu sekitar jam 10.30 malam semalam.

Pada masa yang sama, laporan itu turut menyebut kesakitan melampau yang dialami Rosmah sekali gus menyebabkan beliau tidak boleh duduk lama.

Najib berkata, beliau akan menemani isteri kesayangannya sepanjang tempoh rawatan ini.

Perkara ini turut disahkan oleh sumber rapat dengan bekas Perdana Menteri itu. Menurut sumber tersebut, Rosmah akan menjalani rawatan lanjut pada pagi ini.

Semalam, perbicaraan kes rasuah terhadap Rosmah terpaksa ditangguhkan selepas Datuk Jagjit Singh selaku peguam beliau memaklumkan Mahkamah Tinggi yang Rosmah cuti sakit.

Datuk Jagjit Singh memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan bahawa keadaan kesihatan Rosmah menyebabkan beliau tidak dapat hadir dan doktor yang merawat telah mengeluarkan sijil perakuan sakit pada 2 Februari lalu.

Peguam itu juga turut mengemukakan laporan perubatan Rosmah kepada mahkamah yang menyatakan beliau sedang dirawat di sebuah hospital swasta di ibu negara semalam. Oleh sebab itu, kes tersebut akhirnya ditangguhkan pada hari Rabu.

Untuk rekod, Rosmah ketika ini berdepan dengan tiga pertuduhan rasuah mencecah ratusan juta ringgit melibatkan projek solar hibrid untuk membekalkan kuasa elektrik kepada 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak.

Memetik laporan Sinar Harian, beliau didakwa bersubahat untuk menerima rasuah sebanyak RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Rizal Mansor.

Sebelum ini, kami pernah berkongsi tentang rakaman perbualan yang membabitkan Najib Razak dan Rosmah Mansor. Untuk baca artikel penuh, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca