Rogol Dan Bunuh Kanak-Kanak Berusia 6 Tahun, Pelajar Ini Akhirnya Dihukum Penjara 27 Tahun

Kedatangan cucu kandung selama tiga minggu ke rumah datuk dan neneknya berakhir dengan tragedi apabila dia didapati telah dirogol dan dibunuh dengan kejam.

Pada 2 Julai 2018, mayat seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun ditemui dalam keadaan tanpa seurat benang di sebuah kawasan hutan berdekatan tapak bekas hotel. Ujian autopsi dilakukan dan mendapati anak kecil itu mengalami sebanyak 117 kecederaan. Terdapat pendarahan teruk pada alat sulit mangsa menandakan mangsa telah diperkosa.

Pada jam 6 pagi tanggal yang sama, datuk kepada Alesha menyedari cucunya itu tidak berada di atas katilnya. Setelah puas mencari, nenek gadis kecil itu telah melaporkan kehilangannya kepada pihak polis. Seluruh ahli keluarga Alesha kini giat berusaha untuk mengesan kanak-kanak itu.

Nenek mangsa telah beralih ke media sosial Facebook untuk meminta bantuan orang ramai mencari cucunya. Teman wanita kepada bapa Alesha iaitu Toni menelefon seorang remaja bernama Aaron Campbell berusia 16 tahun sejurus selepas menyedari bahawa terdapat panggilan tidak terjawab daripada pemuda itu.

Remaja ini juga merupakan antara pelanggan tegar ganja daripada bapa Alesha. Tujuan Toni menelefon Aaron adalah untuk meminta bantuan lelaki itu mencari Alesha. Aaron bersetuju untuk membantu dan dia yakin Alesha tidak pergi terlalu jauh dari kawasan rumah neneknya.

Tiada siapa yang menyangka bahawa Aaron Campbell merupakan individu yang bertanggungjawab membunuh dan merogol Alesha McPhail.

Polis Scotland memulakan misi mencari Alesha dengan bantuan helikopter. Pada jam 8.54 pagi hari yang sama, seorang lelaki, Jorge Williams telah melaporkan bahawa dia telah menemui Alesha dalam keadaan sudah tidak bernyawa. Lokasi penemuan mayat Alesha itu hanya mengambil masa 15 minit dari rumah datuk dan nenek gadis itu. Ibu Alesha yang tinggal 110km dari kawasan tersebut telah dipanggil untuk proses pengecaman mayat.

Sebuah kertas siasatan telah dibuka dan beberapa kawasan di kepulauan itu ditutup untuk siasatan. Penyiasat percaya bahawa pembunuh Alesha berkemungkinan menetap di kawasan tersebut.

Ibu kepada Aaron Campbell, Janette bertindak membantu polis bagi mengesan pembunuh tersebut. Wanita itu menyerahkan rakaman litar tertutup CCTV kepada polis selepas menyedari sesuatu yang mencurigakan telah berlaku. Ini kerana, Janette mendapati anaknya ada keluar dari rumah dan kembali sebanyak dua kali pada masa Alesha dikatakan hilang.

Jannete turut menyoal siasat anaknya dan berpuas hati setelah anaknya berkeras mengatakan dia tiada kaitan dengan pembunuhan Alesha. Namun, Janette tetap menyerahkan rakaman tersebut dengan niat mahu menggugurkan anaknya daripada senarai suspek.

Walau bagaimanapun, remaja tersebut ditahan pada 4 Julai kerana terdapat keraguan pada testimoninya sebagai saksi. Apabila disoal jika dia tahu apa-apa mengenai Alesha, Aaron hanya menjawab tiada komen.

Semasa dibicarakan, Aaron mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh dan merogol Alesha McPhail. Polis telah menggunakan rakaman CCTV yang diperoleh dari ibu Aaron dan satu lagi rakaman CCTV di sebuah pantai.

Dalam rakaman kedua, seorang individu dilihat seolah-olah mengangkat sesuatu di dalam dakapannya. Ahli patalogi Dr John Williams berkata bahawa Aaron mungkin telah mengangkat Alesha dari rumah datuk dan neneknya berikutan kaki Alesha yang bersih walhal anak kecil itu tidak memakai sepatu.

Bukti lain yang dikemukakan adalah sepasang seluar, boxer, jaket, kemeja-T dan sebilah pisau dapur turut ditemui di pantai sama. Janette mengesahkan bahawa kesemua pakaian itu adalah milik anaknya dan pisau tersebut merupakan pisau yang boleh ditemui di dapur rumah keluarga itu. Beberapa DNA turut diambil daripada bahan bukti dan kesemuanya menunjukkan Aaron adalah si pelaku.

Namun begitu, Aaron telah mendakwa bahawa Toni, teman wanita kepada bapa kanak-kanak malang itu adalah pembunuh yang sebenar. Aaron berdiri di kandang saksi dan berkata dia dan Toni telah melakukan hubungan seks di dalam garaj rumah datuk dan nenek Alesha pada malam kejadian.

Peguam Aaron turut menegaskan bahawa Toni sebenarnya cemburu dengan mangsa yang sentiasa mendapat perhatian daripada bapanya. Selain itu, Toni juga dikatakan mempunyai hubungan yang hampir retak dengan bapa Alesha.

Toni membidas kenyataan itu dengan berkata dia sayangkan Alesha seperti anaknya sendiri. Nenek Alesha juga menyokong Toni dengan mengatakan wanita itu dan mangsa mempunyai hubungan yang akrab. Pihak pendakwaan menolak kemungkinan Toni merupakan suspek sebenar kerana wanita itu membuktikan dia tidak mampu untuk mengangkat Alesha yang seberat 22kg ke tempat pembunuhan.

Selepas sembilan hari perbicaraan berlangsung, hakim akhirnya menjatuhkan hukuman penjara seuumur hidup dengan hukuman minima 27 tahun kepada Aaron.

Laporan menyatakan Aaron telah mengaku bersalah di hadapan seorang pekerja kebajikan dan ahli psikologi terhadap pembunuhan Alesha. Aaron juga berkata dia sedaya upaya menahan ketawa sewaktu perbicaraan berlangsung. Malah, remaja itu berkata dia berasa agak puas dengan jenayah itu. Laporan turut menyatakan Aaron mempunyai niat untuk merogol dan membunuh mangsa lain selain mahu mengadakan hubungan seks dengan mayat.

Namun demikian, Aaron telah membuat rayuan ke mahkamah dan hukumanya telah dikurangkan kepada 27 sehingga 24 tahun. Semasa di dalam penjara, Aaron dilaporkan menerima banyak surat daripada peminat-peminatnya yang rata-rata merupakan anak gadis.

Mayat Alesha dikebumikan di Perkuburan Coltswood. Pada 20 Jun 2019, warga sekolah rendah Alesha telah membuka sebuah taman permainan yang dibina untuk memperingati kanak-kanak itu.

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca