RM84,950 Lesap, Penolong Pengurus Kilang Menjadi Mangsa ‘Parcel Scam’

Seorang penolong pengurus kilang mengalami kerugian sebanyak RM84,950 selepas diperdaya sindiket ‘parcel scam’ yang mendakwa mangsa ada membeli beg berjenama dari Amerika Syarikat pada Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang iaitu Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula apabila wanita berusia 42 tahun itu menerima mesej WhatsApp daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Mr. Usman daripada syarikat Ekc Delivery Servis.

“Lelaki itu memberitahu terdapat bungkusan kotak milik mangsa dari Amerika Syarikat yang dialamatkan di Lot 109b, Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan.

“Mr. Usman memberitahu bahawa dalam bungkusan berkenaan mengandungi beg berjenama dan meminta mangsa membuat pembayaran cukai sebanyak RM9,150 bagi melepaskan barang itu sampai kepadanya.

“Mangsa memberitahu bahawa dia tidak pernah membuat pesanan dari Amerika Syarikat. Namun suspek mendakwa akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Supt Wazir berkata, mangsa yang takut dan panik dengan ugutan itu kemudian membuat transaksi wang berjumlah RM9,150 ke dalam satu akaun yang diberikan oleh suspek pada hari yang sama.

“Namun, Mr. Usman meminta lagi wang bagi memudahkan bungkusan diterima dan meminta mangsa membuat transaksi wang dengan pelbagai alasan.

“Mangsa kemudian membuat dua kali lagi pindahan wang ke dalam dua akaun berbeza menjadikan jumlah keseluruhan wang diserahkan kepada sindiket itu sebanyak RM84,950,” ujarnya.

Beliau berkata lagi, mangsa akhirnya menyedari diri menjadi mangsa penipuan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam.

“Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika disabitkan kesalahan,” tegasnya.

Diharapkan kejadian seperti ini menjadi pengajaran kepada semua agar lebih berhati-hati dan jangan terlalu cepat bertindak. Lebih-lebih lagi apabila berurusan dengan perkara yang melibatkan duit dan juga dengan pihak yang tidak dikenali.

Untuk baca artikel lain berkaitan ‘scam’, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca