RM30,000 Sehala, Orang Kaya Kelantan Sewa Helikopter Untuk Elak Kesesakan Balik Raya

Golongan berada Kelantan tidak perlu risau untuk menghadap kesesakan jalan raya untuk pulang beraya atau bimbang tiket pesawat komersial sudah habis.

Hal ini demikian kerana inisiatif baharu telah diwujudkan buat golongan berkemampuan seperti mereka ini iaitu pulang ke kampung halaman dengan menyewa helikopter.

Menurut laporan portal berita Sinar Harian, sekurang-kurangnya 20 buah helikopter disediakan bagi perkhidmatan, ‘Balik Raya Elak Jem’ di musim perayaan Aidilfitri ini.

Ini merupakan pertama kali perkhidmatan sebegini diperkenalkan oleh syarikat pengurusan, Hazmi Dimasyq Group.

Pemilik syarikat berkenaan iaitu Hazmi Hanipa memberitahu bahawa sebelum ini, perkhidmatan menyewa helikopter dan jet peribadi sudah diperkenalkan mereka sejak 3 tahun lalu.

Tambah Hazmi lagi, perkhidmatan itu juga menjadi pilihan para ahli perniagaan.

“Ini merupakan tahun pertama untuk perkhidmatan sempena hari raya. Setakat ini, kita mendapat 11 permintaan yang mana paling tinggi adalah penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu,” kata beliau.

Menurut anak jati Kampung Renok Baru, Gua Musang itu, penerbangan pertama akan bermula pada 3 Jun ini. Harga sewa penerbangan ke Kelantan pula mencecah RM30,000 untuk sehala.

“Kita menyediakan lebih 20 buah helikopter untuk musim raya ini manakala penerbangan hari biasa melibatkan 6 buah sahaja,” kata Hazmi lagi.

Hazmi tidak sangka bahawa perkhidmatan sebegini mendapat permintaan yang tinggi.

“Untuk Kelantan sahaja, kita ada 4 penerbangan setakat ini. Kita menyediakan 2 jenis helikopter iaitu muatan 3 dan 6 penumpang,” ujar Hazmi.

Harga sewa bagi penerbangan 6 penumpang boleh mencecah RM17,000 untuk 1 jam.

Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu cuma mengambil masa 3 jam sahaja dengan menaiki helikopter.

“Alhamdulillah, melihat kepada permintaan, kita akan meneruskan perkhidmatan ini untuk musim-musim perayaan seterusnya,” katanya lagi.

Artikel Lain Untuk Di Baca