Risau ‘Kantoi’ Dengan Keluarga, Remaja Ini Tergamak Campak Bayi Baru Lahir Dari Tingkat 4

Tidak berhati perut, itulah ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan situasi ini di mana seorang remaja tergamak mencampak darah daging sendiri yang baru dilahirkannya dari balkoni tingkat empat sebuah flat di Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru, Pulau Pinang pada Rabu.

Bayi malang yang disumbat di dalam beg itu bagaimanapun ditemui dalam keadaan masih bernyawa selepas diselamatkan oleh salah seorang penduduk di situ.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya iaitu Superintendan AA Anbalagan, remaja berusia 18 tahun itu dipercayai melahirkan bayi berkenaan sekitar jam 7 pagi Rabu di dalam tandas kediamannya tanpa pengetahuan ahli keluarga.

Memetik laporan Astro Awani, dia yang bekerja sebagai pembantu kedai itu bertindak mencampak bayinya menerusi balkoni gara-gara panik selain takut kelahiran bayi diketahui ahli keluarga.

Kata Anbalagan, menurut seorang penduduk, dia terdengar bunyi dentuman kuat seperti barang jatuh ke atas atap rumahnya.

Rasa curiga terhadap bunyi dentuman itu mendorong dirinya untuk membuat pemeriksaan di sekitar kawasan rumah dan menemui beg di bahagian belakang flat terbabit.

Apabila dia membuka beg itu, dia mendapati terdapat seorang bayi perempuan dalam keadaan berdarah namun masih lagi bernyawa.

Difahamkan, terdapat kesan luka di kepala bayi malang berkenaan dipercayai akibat terjatuh dari tempat tinggi.

Berdasarkan hasil siasatan dan maklumat daripada penduduk, pihak polis berjaya menahan remaja terbabit tidak lama kemudian.

Ketika kejadian, ibu bapa remaja terbabit dilaporkan tiada di rumah dan berada di Kelantan manakala dua adik-beradik yang tinggal bersamanya langsung tidak menyedari kejadian itu.

Ujar Anbalagan, suspek merahsiakan tentang kandungannya itu daripada ahli keluarganya dan mendedahkan bapa kepada bayi tersebut merupakan teman lelakinya yang juga berumur 18 tahun.

Pasukan forensik telah menjalankan siasatan di tempat bayi berkenaan dijumpai dan rumah suspek untuk mengambil beberapa sampel darah serta pakaian untuk tujuan analisa Jabatan Kimia.

Bayi dan remaja berkenaan telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut dan kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Untuk baca artikel-artikel lain tentang kes pembuangan bayi, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca