Risau Dikaitkan Dengan Koronavirus, Krew Kabin Syarikat Penerbangan Ternama Malaysia Ini Pilih Untuk Tipu Jururawat

Semalam, kecoh di Twitter apabila seorang pengguna laman itu berkongsi satu tangkap layar memapaparkan foto seorang wanita yang dipercayai seorang krew kabin sebuah syarikat penerbangan terkemuka negara bercakap tentang penipuan yang dilakukannya. Apa yang membuatkan ramai panas hati adalah kerana ia berkait dengan penularan wabak koronavirus.

Menerusi tangkap layar itu, wanita berkenaan bercerita mengenai pengalamannya semasa membuat tempahan slot di sebuah spa di mana pihak spa berkenaan bertanya kepadanya sama ada dia ada bercuti di luar negara dalam masa terdekat. Bimbang dirinya dikaitkan dengan wabak koronavirus, wanita tersebut mengaku yang dia hanya ada pergi bercuti di dalam negara sahaja meskipun dia baru sahaja pulang dari China.

Tidak cukup dengan itu, wanita yang disifatkan warganet sebagai seorang yang pentingkan diri sendiri itu turut menipu seorang jururawat di sebuah hospital dekat Kuala Lumpur apabila diajukan soalan yang sama. Katanya, risau dipandang lain macam jika berterus-terang. Malah, wanita tersebut tanpa rasa bersalah menyifatkan perbuatannya itu sebagai tipu sunat semata-mata.

Semasa artikel ini ditulis, perkongsian oleh pengguna Twitter di sebalik akaun @wsuhaira6 itu mencatat lebih 10,000 ulang kicau dan 4,000 tanda suka. Tinjauan kami di ruangan Replies mendapati rata-rata warganet berang dengan tindakan krew kabin terbabit. Mana tidaknya, menipu hanya untuk kepentingan sendiri dan langsung tidak memikirkan nasib orang lain. Pada masa yang sama, ramai pengguna Twitter meminta agar identiti krew kabin tersebut didedahkan kepada umum agar masing-masing boleh ‘sekolahkan’ wanita tidak bertanggungjawab itu. 

Team Lejen Digital telah menghubungi pengguna yang mendedahkan penipuan krew kabin tersebut untuk mendapatkan kenyataan lanjut daripadanya memandangkan isu ini menjadi tular dan berjaya mencuri perhatian warganet.

Menurut wanita yang enggan identitinya didedahkan itu, niatnya berkongsi tangkap layar berkenaan hanyalah untuk memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak mementingkan diri sendiri terutamanya apabila ia boleh memberi impak kepada orang lain. Ujarnya, perkara ini bukan sesuatu yang boleh diambil enteng kerana ia melibatkan soal nyawa yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Difahamkan, dia sudah pun melaporkan perkara ini kepada syarikat penerbangan krew kabin terbabit bertugas dan pihak sana sudah pun menerima laporan tersebut. Laporan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) juga telah dibuat memandangkan isu ini sangat serius.

“Saya memilih untuk tidak mendedahkan identiti krew kabin tersebut. Biarlah pihak yang sepatutnya membuat kerja mereka,” ujar pengguna itu dengan harapan perkongsiannya dapat dijadikan pengajaran buat orang ramai supaya tidak bertindak tanpa memikirkan orang lain.

Apa-apa pun, kami berharap agar selepas ini tiada lagi individu yang tidak bertanggungjawab bertindak sedemikian rupa terutamanya apabila ia memberi kesan kepada orang lain.

Untuk baca artikel lain mengenai penularan wabak koronavirus, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca