Rindu Punya Pasal, Pasangan Kekasih Ini Sanggup Langgar Arahan PKP

Petang semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi satu perutusan khas memaklumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam membendung penularan pandemik COVID-19 akan dilanjutkan sehingga 28 April 2020. Terdahulu, PKP yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu sepatutnya berakhir pada 14 April 2020.

Meskipun berulang kali Perdana Menteri mengingatkan seluruh rakyat Malaysia supaya mematuhi PKP yang sedang dilaksanakan itu, masih ada yang keras kepala dan tetap ingkar dengan arahan tersebut.

Baru-baru ini, sepasang kekasih bersama seorang lagi rakannya telah ditahan oleh pihak berkuasa kerana ingkar dengan arahan PKP. Tidak cukup dengan itu, mereka juga dilaporkan cuba untuk menipu pihak berkuasa. Difahamkan, ketiga-tiga individu tersebut keluar bersiar-siar dengan menaiki sebuah kereta sebelum mereka ditahan di salah satu sekatan jalan raya di Perlis.

Menurut laporan Harian Metro, pasangan kekasih yang ditahan itu masing-masing berusia 26 tahun dan 23 tahun manakala rakan mereka pula berumur 15 tahun.

Pada mulanya, mereka dikatakan memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka adalah adik-beradik. Namun begitu, penipuan tersebut tidak berhasil selepas mereka diminta untuk mengeluarkan kad pengenalan masing-masing.

Mereka kemudiannya dikatakan masih lagi cuba untuk mengelirukan pihak berkuasa dengan mendakwa mereka adalah saudara tiri dan pasangan berkenaan merupakan suami dan isteri.

Walau bagaimanapun, mereka gagal untuk mengemukakan sebarang bukti pernikahan apabila diminta berbuat demikian.

Tidak tahan dengan soalan-soalan yang dilemparkan, ketiga-tiga individu tersebut akhirnya membuat pengakuan yang semua diceritakan tadi adalah rekaan semata-mata.

Setiap seorang daripada mereka telah dikenakan denda sebanyak RM1,000 mengikut Peraturan 11(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Dalam pada itu, seluruh team Lejen Digital ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru orang ramai agar mematuhi perintah kerajaan untuk duduk di rumah dalam mengekang penularan virus COVID-19. Untuk baca artikel-artikel berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca