Mahu balik kampung punya pasal, seorang lelaki warga Indonesia nekad menceroboh kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan bersembunyi di dalam ruang tayar sebuah pesawat kargo.

Walau bagaimanapun, tindakan ‘pintarnya’ itu tidak berjaya apabila seorang juruteknik yang sedang membuat penyelenggaraan pesawat berkenaan menyedari kelibat lelaki tersebut.

Kejadian berlaku pada Isnin lepas, kira-kira jam 9.58 pagi. Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya DSP Jafri Md Zain, juruteknik berkenaan ternampak lelaki Indonesia berusia 39 tahun itu keluar dari tempat persembunyian. Tanpa membuang masa, dia terus memberitahu pasukan kawalan keselamatan tentang pencerobohan itu untuk tindakan lanjut.

Lelaki berkenaan telah ditahan pasukan kawalan keselamatan dan diserahkan kepada pihak polis atas kesalahan yang dilakukannya itu iaitu menceroboh kawasan larangan.

Hasil siasatan mendapati bahawa lelaki berkenaan yang bekerja di sebuah premis memproses ayam di Balik Pulau sejak 9 bulan lepas memberitahu bahawa dia berbuat demikian kerana mahu pulang ke kampung halamannya iaitu Medan, Indonesia.

Dia terpaksa menyelinap masuk ke kawasan itu kerana tiada wang yang cukup berikutan majikannya dipercayai tidak membayar gajinya sejak 2 bulan lepas.

Menurut Jafri, lelaki tersebut menceroboh masuk ke kawasan lapangan terbang menerusi pagar yang berlubang berhampiran tanah perkuburan di Permatang Damar Laut. Dia kemudiannya berjalan menuju ke pesawat yang diparkir pada jam 12 tengah malam.

Bahagian tayar pesawat kargo itu menjadi tempat persembunyiannya sejak awal pagi. Lelaki itu bertindak keluar dari situ kerana panik selepas mendengar suara juruteknik berkenaan.

Suspek telah direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat menurut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda
0
like
0
love
0
haha
0
wow
0
sad
0
angry