Ribuan Kilogram Lobak Jatuh Dari Langit, Australia Lancar Operasi Beri Haiwan Liar Makan Di Kawasan Terjejas

Kerajaan negeri New South Wales (NSW) menjatuhkan ribuan kilogram lobak merah dan ibu keledek dengan menggunakan helikopter di kawasan yang terjejas teruk akibat kebakaran hutan belukar di Australia.

Bantuan terbabit dikenali dengan nama Operation Rock Wallaby dimulakan oleh Taman Negara NSW dan Perkhidmatan Hidupan Liar baru-baru ini bagi mengawal jumlah populasi marsupial di negara berkenaan.

Jatuhan makanan dari langit itu dilaporkan sudah dilakukan semenjak seminggu lalu dan meliputi kawasan lembah Capertree dan Wolgan, Taman Negara Yengo, Lembah Kangaru dan di sekitar Jenolan, Oxley Wild Rivers serta Taman Negara Curracubundi.

Secara keseluruhan, sebanyak 2,200 kilogram sayuran segar sudah dijatuhkan untuk dijadikan santapan hidupan liar yang terselamat daripada kebakaran hutan terbabit.

Matt Kean yakni Menteri Alam Sekitar NSW berkata, operasi itu adalah bertujuan untuk membantu haiwan-haiwan liar yang terselamat dari kebakaran ekoran mereka kini sudah tidak mempunyai sumber makanan.

“Walabi yang sememangnya berada dalam tekanan akibat kemarau yang berterusan harus dibantu supaya spesies itu tidak terus hilang,” katanya.

Spesies asli itu kini dikawal rapi bagi memantau perkembangannya sebagai sebahagian daripada proses pemulihan pasca kebakaran.

Kini, Tabung Hidupan Liar (WWF) menganggarkan sekurang-kurangnya 1.25 bilion haiwan maut sama ada secara langsung atau tidak susulan kebakaran hutan yang mengancam negara itu semenjak September tahun lalu.

Untuk membaca artikel lain berkaitan kebakaran hutan di Australia, sila klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca