Sebuah restoran makanan eksotik di Kampung Baru, Broga diserbu selepas polis mendapat aduan dari orang awam pada 2 Ogos lalu kerana disyaki menjual daging anjing kepada pelanggannya sebagai makanan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, “pengadu mendakwa dia ke restoran itu dan mendapati premis itu menyediakan daging anjing.”
Semasa pemeriksaan, polis telah menjumpai beberapa ketulan daging beku dipercayai daging anjing di restoran berkenaan.
“Pemeriksaan telah dilakukan oleh pihak polis dan hasil siasatan akan disalurkan kepada jabatan berkaitan,” katanya.
Pemilik restoran itu memiliki lesen menjual makanan eksotik dan tidak menjual secara terbuka kepada pelanggan malah mendakwa daging tersebut dijual di kedainya untuk merawat penyakit asma pelanggan.
Daging anjing yang hanya dijual mengikut tempahan pelanggan itu ditemui oleh polis dalam bentuk sejuk beku dan bekalan daging itu didapatkan oleh restoran tersebut daripada pembekal di daerah luar Nilai.
“Restoran itu memiliki lesen menjual makanan eksotik, tetapi daging anjing tidak termasuk dalam senarai dibenarkan,” kata Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Wan Mat Wan.
Sumber polis berkata, “polis sedang menyiasat pembekal daging anjing tersebut kerana pemilik restoran itu enggan mendedahkannya.”
Polis tidak dapat mengambil sebarang tindakan kerana hal itu di bawah bidang pihak berkuasa lain. Walaupun begitu, pemilik premis berkenaan dinasihatkan untuk tidak menjual daging anjing lagi.