Restoran Di India Ini Cipta ‘Roti Canai Pelitup Muka’ Untuk Beri Kesedaran Tentang Norma Baharu

Meskipun India terus mencatatkan kes harian tertinggi COVID-19, namun masih ramai rakyat negara tersebut yang tiada kesedaran tentang wabak yang telah meragut lebih 774,000 nyawa di seluruh dunia itu.

Memandangkan masih ramai yang langsung tiada kesedaran tentang norma baharu dalam membendung pandemik COVID-19 daripada terus menular, sebuah restoran Tamil di Madurai tampil dengan inisiatif untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dengan memperkenalkan konsep roti canai terbaharu iaitu roti canai pelitup muka.

Memetik laporan Times of India, peningkatan kes mendadak di negara itu baru-baru ini memberi idea kepada pemilik restoran berkenaan untuk tampil dengan idea tersebut.

Sumber: Head Topics

Pada masa yang sama, pemilik restoran itu yang dikenali sebagai K Lakshmana Kumar mengatakan bahawa idea tersebut juga tercetus apabila melihat masih ramai penduduk di Madurai yang tidak mengenakan pelitup muka.

“Walaupun diwajibkan untuk memakai pelitup muka, saya lihat masih ramai yang melanggar peraturan tersebut. Saya mahu pihak kami (restoran) melakukan sesuatu untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pelitup muka,” kata K Lakshmana Kumar.

Difahamkan, roti canai pelitup muka itu dijual pada harga RM2.83 iaitu sama seperti harga roti canai yang lain.

Apabila ada sesuatu yang rare seperti ini, ramai yang akan mengambil gambar dan memuat naiknya di media sosial. Tidak kurang juga, ada yang berswafoto bersama roti canai pelitup muka itu.

Jadi, secara tidak langsung, K Lakshmana Kumar yakin orang ramai akan terbiasa dan faham dengan fungsi serta kepentingan memakai pelitup muka.

Sumber: Juice

Kisah tentang roti canai pelitup muka ini menjadi tular di internet baru-baru ini terutamanya di laman sosial Twitter. Tinjauan kami mendapati ramai yang rasa ia adalah sesuatu yang lawak dan ada yang memuji inisiatif tersebut. Namun begitu, ada juga segelintir yang tidak yakin ia mampu meningkatkan kesedaran orang ramai di bandar tersebut.

Apa-apa pun, inisiatif yang diambil oleh pihak restoran ini wajar dipuji dan diharapkan agar ia dapat memberi kesedaran kepada mereka yang masih tidak mengenakan pelitup muka ketika keluar rumah.

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca