Gergasi La Liga dari ibu negara Sepanyol, Real Madrid mungkin akan menggunakan bintang Wales, Gareth Bale dalam perjanjian pertukaran untuk mendapatkan Paul Pogba atau Christian Eriksen.

Menurut laporan AS, Real Madrid telah menetapkan harga RM606 juta untuk Gareth Bale dengan harapan bintang Wales itu dapat menampung pembiayaan untuk pelan perpindahan mereka pada musim panas ini.

Real Madrid berharap dapat menggunakan Bale sebagai pengimbang dalam kesepakatan untuk menandatangani Paul Pogba dari Manchester United dengan menawarkan Gareth Bale berserta tambahan wang tunai dalam usaha mencari persetujuan kedua-dua kelab.

Selain itu, Madrid juga akan mempertimbangkan usul kesepakatan yang sama dengan Tottenham, kelab yang Bale tidak keberatan untuk kembali, dengan harapan dapat memancing masuk pemain perancang mereka, Christian Eriksen.

Zidane mempunyai masa yang ampuh untuk membentuk pasukan dan membuat pilihan pemain menjelang musim baru setelah dibawa pulang dan masuk menggantikan Santiago Hernan Solari sebagai pengurus pasukan.

Mempunyai masa kurang lebih 5 bulan sebelum musim baru bermula, dengan tiada tekanan untuk menghabiskan baki perlawanan musim ini, Zidane pastinya akan menggunakan ruang waktu ini dengan perancangan rapi bagi memperkasakan pasukan.

Dijangkakan pemain nadi utama Zidane di Madrid sebelum ini seperti Marcelo, Ramos, Isco, Modric, Casemiro dan Benzema akan terus kekal bagi membantu Zidane kembali menakluk Eropah dan berkuasa di Sepanyol.

Apa yang menjadi tanda tanya besar ketika ini adalah ke mana destinasi Gareth Bale, siapakah akan menjadi pilihan utama Zidane untuk membenteng gawang Real Madrid dan paling utama – siapakah nama besar akan dibawa masuk bagi mengimbangi kekosongan dan impak pemergian Cristiano Ronaldo sepanjang musim ini?

Jawapannya hanya ada dalam kepala botak Zinedine bin Zidane. Sekurang-kurangnya buat masa ini.

Ikuti Kami Di Ruang Internet Anda