Raya PKP 3.0? Ini Tip Untuk Kekal Meriah Sambut Hari Raya Aidilfitri Ketika PKP

Hari Raya Aidilfitri 2021 sudah tentu merasai suasana yang berbeza susulan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin. Pulang ke kampung, berbalas kunjungan merentas negeri serta daerah adalah dilarang sama sekali. Demi menjaga keselamatan dan keselesaan semua, kita perlu mempraktikkan penjarakan sosial, menjaga kebersihan diri darn memakai pelitup muka apabila berada di luar.

Biarpun sedikit janggal, namun norma baharu tidak bererti Aidilfitri tahun ini tidak mampu melahirkan pelbagai kenangan yang indah. Di sini kami sediakan 8 tip bagi memastikan hari raya diraikan dengan selesa, selamat dan kekal meriah.

1. Pelbagaikan menu hari raya

Raya PKP 3.0? Ini Tip Untuk Kekal Meriah Hari Raya Aidilfitri Ketika PKP
Menu makanan hari raya paling popular di Malaysia.
Sumber: Blog Leo Pluto

Kita sememangnya tidak dapat pulang ke kampung untuk menikmati hidangan rendang daging ibu atau ketupat palas buatan nenek. Tetapi, tidak semestinya kita tidak boleh mencuba sendiri memasak hidangan tradisional kegemaran, lebih-lebih yang duduk jauh di perantauan. Minta resepi, beli bahan-bahan dan masak! Ingin kepelbagaian, cuba resipi-resipi popular yang sering tular di media sosial yang boleh didapati di laman Instagram seperti @khairulaming, @eina_azman, @sheilarusly_jspictures dan lain-lain. Jangan lupa untuk kongsikan hasilnya di akaun media sosial anda sendiri nanti!

2. Tempah kuih raya secara dalam talian

Raya PKP 3.0? Ini Tip Untuk Kekal Meriah Hari Raya Aidilfitri Ketika PKP
Sumber: zeebedek

Buat mereka yang kurang berbakat memasak atau sibuk bekerja, pelbagai pilihan kuih raya ada dijual di Instagram dan Facebook oleh peniaga kecil. Kuih tradisional seperti Biskut Makmor, Tart Nanas dan Putu Kacang memang lazat dinikmati tetapi untuk membuatnya memerlukan skil yang tak kurang hebat. Lebih mudah jika membeli sambil membantu meningkatkan ekonomi ketika PKP ini.

3. Imarahkan ruang solat di rumah

Sumber: KOMPAS.com

Walaupun solat sunat Aidilfitri dibenarkan, tetapi hanya beberapa orang sahaja dibenarkan untuk masuk ke dalam masjid. Tidak seperti raya 2 tahun sebelum ini yang boleh menempatkan semua orang menunaikan solat sunat Aidilfitri. Oleh itu, gunakanlah kesempatan ini untuk terus mengimarahkan ruang musala di rumah bersama keluarga dengan mendirikan solat sunat Aidilfitri.

4. Rumah terbuka di alam maya

Raya PKP 3.0? Ini Tip Untuk Kekal Meriah Hari Raya Aidilfitri Ketika PKP
Sumber: Rupa-rupa

Jauh di mata, tidak semestinya tak boleh bersama. Pelbagai aplikasi percuma boleh digunakan untuk berhubung secara video dengan jumlah ‘tetamu’ yang ramai. Antara aplikasi yang popular adalah Google Meet, Zoom dan Skype. Kini, anda boleh membuat panggilan video secara konferens sehingga 9 orang secara serentak dengan menggunakan aplikasi WhatsApp. Buat pengguna peranti Apple pula boleh menggunakan FaceTime untuk tujuan yang sama. Jadi di Aidilfitri ini, tetapkan masa untuk bermaaf-maafan dan beramah mesra secara maya. Mungkin dengan cara ini juga akan menimbulkan suasana yang lebih sayu dan menyentuh perasaan di pagi hari lebaran.

5. Senarai main lagu membangkit suasana

Raya PKP 3.0? Ini Tip Untuk Kekal Meriah Hari Raya Aidilfitri Ketika PKP
Sumber: Aerill.com

Hidupkan suasana hari lebaran dengan memasang lagu-lagu raya yang telah disenaraikan awal-awal di YouTube, Spotify dan sebagainya. Lagu-lagu seperti Dendang Perantau oleh P.Ramlee, Anugerah Aidilfitri oleh Dato’ Siti Nurhaliza dan Suasana Di Hari Raya oleh Anuar Zain dan Ellina di antara lagu malar segar yang sering diputarkan untuk menggamit memori juga membangkitkan perasaan perayaan di hati semua.

6. Hai, duit raya jangan lupa nak diberi!

Sumber: Carousell

Seperti dendangan Anuar Zain dan Ellina dalam lagu Suasana Hari Raya, “Asyik bersembang, pakcik dan makcik, hai duit raya lupa nak diberi”. Walaupun tidak dapat berkunjung ke rumah, bukan bererti duit raya terus dilupakan malah bajet yang telah disediakan diperap dalam beg beg duit atau akaun sendiri. Buat pindahan wang secara DuitNow yang cuma menggunakan nombor telefon bimibit atau kad pengenalan untuk menghantar duit raya kepada ibu bapa ataupun anak buah dengan mudah dan cepat. Selain itu, anda juga boleh menggunakan kemudahan e-wallet untuk memindahkan wang yang kemudiannya boleh dibelanjakan.

7. Fesyen #OOTD #Throwback

Lebih daripada sekadar berjimat, mengitar semula pakaian hari raya lama boleh memberikan feel yang berbeza dan menarik. Namun begitu, dari segi kreativiti juga perlu ada. Cari kembali baju-baju dari empat atau lima tahun lalu yang mungkin anda gunakan hanya sekali dua dan masih lagi elok digayakan. Kemudian, padankan dengan aksesori yang berbeza ataupun tambahan warna. Sebagai contoh, bagi kaum lelaki, pilih songkok tinggi dengan baju melayu lama atau gayakan samping dengan ikatan yang berbeza untuk tampil segak dan bergaya. Jangan lupa untuk kongsikan berserta kapsyen #OOTD Aidilfitri 2021 di akaun media sosial anda!

8. Maraton filem Melayu klasik

Sumber: soscili.my

Tidak boleh mengunjungi rumah rakan dan keluarga terdekat lebih banyak masa dapat diluangkan untuk aktiviti di rumah. Apa kata sambung mood throwback raya ini dengan menonton filem Melayu klasik yang tersedia di laman penstriman video. Dari filem-filem era P.Ramlee seperti Bujang Lapok dan Madu Tiga, beralih pula ke era 70-an dengan siri filem Esok. Seterusnya ke era 80-an bersama gandingan Ogy Ahmad Daud dan Azmil Mustapha dalam Suara Kekasih dan Ali Setan. Mengimbau kenangan lama pasti dapat menceriakan suasana buat seisi keluarga.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca