Ratusan Mumia Mati Terbelalak Kesakitan Ini Menyimpan Kisah Ngeri

Pada tahun 1947, seorang penulis bernama Ray Bradbury telah menjejakkan kaki ke pekan Guanajuato, Mexico yang sunyi sepi.

Pengalaman itu sangat menakutkan sehingga dia mendapat mimpi ngeri tentang kematian, dikelilingi mayat reput dan dia tidak sabar untuk terbang keluar dari Mexico.

Apabila pulang ke rumah, lelaki itu segera menulis cerpen seram ‘The Next in Line’ berdasarkan pengalaman yang dia tidak akan dapat lupakan.

Apa yang telah mengganggu Ray?

Semuanya gara-gara pertemuannya dengan mumia-mumia Guanajuato.

Kisah di sebalik mumia-mumia itu

Foto: momiasdeguanajuato

Pada sekitar tahun 1850-an, wabak Kolera telah ‘menyerang’ dunia ketika itu sehingga meningkatkan kadar kematian pada peringkat global.

Pekan Guanajuato ini turut tidak terkecuali dan oleh sebab angka kematian penduduk semakin meningkat, mereka kehabisan tanah untuk buat kubur.

Kerajaan ketika itu pula mengenakan ‘cukai pengebumian’, memaksa ahli keluarga si mati untuk bayar sejumlah duit untuk mengebumikan orang-orang yang mereka sayang.

Jika gagal bayar cukai, mayat tersebut akan dikeluarkan dari tanah kubur dan ‘disimpan’ di dalam sebuah lorong bawah tanah yang menakutkan.

Ketika mereka menjalankan kerja pengorekan semula tanah kubur, mereka terkejut apabila mendapati mayat-mayat itu mengeras seperti mumia. Mungkin kerana faktor cuaca yang ekstrem dan keadaan tanah yang kering di lokasi tersebut.

Namun apa yang lebih mengejutkan para penggali kubur itu adalah ekspresi wajah mayat-mayat itu yang kelihatan ngeri dan seolah-olah menjerit ketakutan.

Foto: YouTube

Salah satu jasad yang ditarik keluar milik Ignacia Aguilar, ditemui dalam keadaan mulut berdarah dan menggigit tangannya sendiri. Dia dikatakan menderita sakit misteri yang menyebabkan jantungnya berhenti selama lebih sehari. Keluarganya menyangka wanita itu telah meninggal dunia lalu segera mengebumikannya.

Begitu juga mayat-mayat lain yang ditanam segera selepas disahkan mati kerana tidak mahu wabak kolera itu terus merebak. Kemungkinan besar mereka yang disangka meninggal dunia ini sebenarnya belum mati tetapi telah ditanam hidup-hidup!

Sebab itu riak wajah mayat-mayat itu kelihatan terseksa sebegitu rupa.

Mendapat perhatian orang ramai

Foto: momiasdeguanajuato

Lalu khabar mengenai mumia-mumia Guanajuato tersebar ke seluruh pekan dan orang ramai sanggup bayar penggali kubur itu untuk melihat sendiri.

Ada mumia wanita mengandung yang mati kerana kolera dan janinnya yang berusia 24 minggu itu dipercayai mumia termuda di situ.

Sekitar awal tahun 1900-an, lokasi tersebut mula menjadi tarikan pelancong. Kira-kira 111 mumia digali dari kubur dan dipamerkan kepada ramai pengunjung.

Pada tahun 1968, sebuah muzium bernama El Museo de las Momias yang menempatkan mumia-mumia Guanajuato ini dibuka kepada orang ramai.

Cerita pengunjung yang dah pernah sampai ke sana, muzium tersebut sebenarnya terletak di bawah tanah perkuburan!

 

Artikel Lain Untuk Di Baca