Ratusan Ikan Mati, Akuarium Gergasi Di Berlin Pecah

Sebuah akuarium gergasi di pusat bandar Berlin pecah berkecai, melimpahkan hampir sejuta liter air ke jalan raya.

Akuarium yang berketinggian 25 meter di dalam lobi Hotel Radisson Blu pecah pada hari Jumaat lepas mengakibatkan ratusan ikan yang ada di dalamnya mati.

Sumber: DW

Aquadom merupakan sebuah akuarium silinder terbesar di dunia yang mengandungi lebih daripada 100 spesies ikan berbeza.

Kos pembinaan akuarium itu menelan belanja kira-kira 12.8 juta pound. Ia dibuka pada Disember 2003 dan telah diberi Rekod Dunia Guinness.

Insiden kerosakan luar biasa ini telah menyebabkan hotel dan jalan-jalan berhampiran dibanjiri air.

Video tular menunjukkan tangki kosong dengan air mencurah ke lobi hotel menyebabkan para tetamu telah dipindahkan keluar dari hotel berikutan kejadian pada 5.50 pagi.

Timbunan serpihan kaca bersepai di hadapan pintu hadapan Hotel Radisson Blu. Didapati, dua orang cedera akibat kaca terjatuh selepas letupan itu.

Jurucakap bomba Berlin memberitahu pihak media bahawa sebahagian besar ikan telah mati.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa baki ikan telah ditemui hidup di tempat-tempat sisa air terkumpul.

Ikan-ikan tersebut sedang ditempatkan semula di akuarium lain.

Pasukan bomba Berlin berkata, lebih 100 anggota bomba dihantar ke tempat kejadian. Punca akuarium itu pecah belum diketahui.

Meskipun begitu, terdapat spekulasi bahawa suhu beku serendah -6C mungkin menyebabkan keretakan pada tangki berkenaan.

Untuk baca artikel-artikel berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca