Rasa Tak Tenang Tengok Salib? Kisah Ini Harus Dijadikan Teladan

Sejak beberapa hari ini, isu salib kembali hangat di Malaysia selepas ada yang tidak senang dengan kewujudan salib di sebuah bangunan di Pulau Pinang. Perkara itu telah mendapat perhatian ramai, tidak terkecuali ahli-ahli politik dan pihak berkuasa tempatan.

Hidup dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan, kita memerlukan jiwa-jiwa yang besar untuk menyatukan dan memberikan kekuatan dalam perpaduan negara. Berikut kami kongsikan kisah tentang satu sosok yang cukup disegani dan kini dirindui oleh rakyat Malaysia.

Dalam sebuah artikel bertajuk The Tok Guru I Knew, Jerome Fernandez telah berkongsikan satu cerita tentang Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz dan salib di gereja berhampiran dengan pejabatnya.

Gereja Katolik Fatima terletak hanya berhadapan dengan Pejabat Menteri Besar, Kota Darul Naim, Kota Bharu. Sesiapa yang memandu ke Pejabat Menteri Besar pasti tidak akan terlepas pandang akan kewujudan gereja tersebut.

Pada suatu pagi, paderi gereja tersebut telah menerima panggilan dari Pejabat Menteri Besar. Pegawai itu berkata Tuan Guru menyedari bahawa salib di atas bumbung gereja itu sudah hilang dan ingin tahu adakah vandalisme menjadi puncanya.

Bagaimanapun, paderi mengatakan bahawa sebenarnya tiada vandalisme yang berlaku pada salib tersebut. Namun, ribut yang berlaku pada malam sebelumnya telah menyebabkan salib itu terjatuh dari tempat asalnya.

Pegawai itu kemudiannya berunding dengan Tuan Guru dan maklum balas beliau sangat menyentuh jiwa.

“Menteri Besar mahu gereja menggantikan salib dan serahkan bil untuk penggantian itu ke Pejabat Menteri Besar untuk pembayaran. Menteri Besar berpendapat bahawa sebagai seorang ketua kerajaan, dia bertanggungjawab terhadap apa yang telah terjadi.”

Dalam satu perkongsian cerita yang lain, Jerome Fernandez menceritakan:

Kuala Krai mempunyai satu-satunya chapel di Kelantan. Ia pernah menjadi banglo yang dimiliki oleh seorang doktor yang telah bermigrasi.

Terdapat kira-kira lapan keluarga yang hadir ke chapel itu sekali seminggu dengan paderi yang berasal dari Kota Bharu. Bangunan itu berada dalam keadaan yang uzur dan kami terpaksa membaikinya untuk mengelakkan bumbungnya jatuh di atas kepala kami semasa berada di sana.

Sebagai pengerusi jawatankuasa paderi, saya menulis kepada majlis tempatan untuk mendapatkan kelulusan bagi pembaikan dan pengubahsuaian. Permohonan telah ditolak tiga kali.

Dengan sedikit kekuatan, saya pergi untuk berjumpa Tuan Guru.

Setelah mendengar apa yang saya perkatakan, Tuan Guru bertanya, “siapa yang menolak permohonan kamu?”

“Setiausaha dewan tempatan,” jawab saya.

“Adakah kamu tahu namanya?” dia bertanya.

“Saya tahu nama pertamanya, tapi bukan nama penuhnya,” jelas saya.

“Seorang Muslim yang baik tidak akan menghalang orang lain daripada membina rumah ibadat mereka. Saya minta maaf atas apa yang telah berlaku. Jangan bimbang. Kamu akan terima surat daripadanya dalam minggu ini untuk membolehkan kamu membaiki dan membuat pengubahsuaian.”

Jelas, jiwa besar seperti Tok Guru amat disenangi bukan saja dalam kalangan orang Islam, malah oleh masyarakat pelbagai kaum dan bangsa di negara kita. Tentang isu salib yang bukan pertama kali timbul di negara kita, kisah sebegini adalah bukti bahawa sifat penyayang, berdedikasi dan arif dalam bidangnya amatlah diperlukan bukan saja dalam kalangan pemimpin, tetapi rakyat seluruhnya.

Rujukan: Herald Malaysia
Foto: Buletin Online

Artikel Lain Untuk Di Baca