Dalam hidup ini kita sentiasa memerlukan seseorang untuk memberikan kita motivasi, peringatan dan semangat dalam meneruskan hidup. Sedar tidak sedar, setiap makhluk yang muncul dalam hidup kita adalah guru kepada kita; memberi kita pengalaman dan ilmu. Sama ada ilmu itu yang bermanfaat mahupun tidak.
Dalam satu hantaran di Facebook, Ahadiat Akashah telah berkongsikan satu tulisan yang mendapat pelbagai reaksi positif. Dengan izin beliau, berikut adalah apa yang ditulisnya:
Rasa macam nak bersara dari hidup. Tapi tak sanggup nak hadapi exam untuk temuduga ofis baru. Bukan senang nak lulus walaupun soalan bocor tiap tahun dapat. Dua penemuduga yang ditugaskan pun dengar ceritanya bukan calang-calang. Memang tak boleh nak kawtim. Exam bermula tak tentu masa.
Kebiasaannya sejurus sanak-saudara, sahabat-handai, rakan-taulan beredar tujuh langkah meninggalkan kita di bilik peperiksaan. Soalannya mudah. Malah, selepas kita masuk aje ke dalam bilik exam, dibacakan lagi soalan sama yang akan keluar. Sayup-sayup kedengaran suara dari atas bumbung dengan pesanan agar kita menjawab dengan tenang dan lancar. Itu pun ramai dengarnya candidate yang gagal.
Terus hasrat nak bersara dari hidup tak jadi. Takut gagal exam. Peluang hanya sekali. Kalau gagal tak boleh repeat. Kalau tak jadi bersara, kenalah pergi kelas lagi. Sehari lima kali itu pun banyak yang ponteng. Kalau pun masuk kelas selalu aja lambat. Sering jugak bila dah dekat nak habis kelas baru masuk.
Dua tukang pencatat markah tak pernah lupa buat laporan. Testimoni inilah yang nanti akan bantu pemarkahan masa exam nanti.
Masa semakin suntuk dan aku pula sering lewat masuk kelas. Kelas tambahan pulak tu memang hampir setiap hari tak pernah masuk.
Aku semakin takut untuk bersara. Aku tahu waktunya tetap akan tiba tetapi tidak pasti entah bila.
Antara komen daripada rakan-rakan Facebook beliau:
Menjawab permintaan seorang rakan Facebook beliau yang memintanya menulis novel baru, Ahadiat Akashah menjawab, “dah tak sempat nak tulis dah. Hihihi banyak sangat tinggal kelas ni. Masa dah suntuk.” – merujuk kepada tulisan beliau pada statusnya.
Semoga apa yang dikongsikan oleh novelis tersohor ini memberikan kita kesedaran dan manfaat dalam menjadikan kita seorang insan yang lebih baik untuk kehidupan di dunia, juga di akhirat nanti.