Kapten Real Madrid, Sergio Ramos telah menyatakan pendirian bahawa sekiranya Jose Mourinho kembali selaku pengendali kelab itu, dia tidak akan berfikir panjang untuk meninggalkan Real Madrid. Malah, sekiranya ia benar-benar berlaku pada musim depan, beberapa pemain senior lain turut berhasrat mengikut jejak langkah Ramos itu.
Ramos yang merupakan pemain pertahanan kelab itu mempunyai hubungan yang keruh dengan Mourinho di mana dia pernah bertekak dengan bekas pengendali Manchenster United itu.
Cadangan presiden kelab, Florentino Perez yang merancang untuk membawa Mourinho kembali ke kancah La Liga turut dibidas oleh Ramos. Dengan kontrak berbaki setahun, Ramos mahu berhijrah untuk mencuba angin baru di kelab gergasi Eropah lain yang dikatakan turut berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
Malah, rakan sepasukannya iaitu Gareth Bale yang pernah dipancing oleh Mourinho untuk ke Manchenster United pada tahun 2017 turut menyelar cadangan ini. Selain itu, Marcelo dan Karim Benzema yang pernah berada di bawah kendalian Mourinho juga tidak mengalu-alukan sebarang perubahan dalam barisan kejurulatihan skuad yang dikenali dengan nama Los Blancos itu.
Walau bagaimanapun, Perez menyatakan bahawa kesemua pemain kelab tersebut tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk membantah pelantikan itu. Pertemuan bersama dengan pengarah kelab bakal diadakan hari ini untuk berbincang lebih lanjut tentang pelantikan Mourinho untuk menguruskan skuad tersebut.