Rambut Semakin Panjang, Ini 7 Kisah Anak Patung Paling Berhantu

Terdapat ramai kanak-kanak di seluruh dunia sangat obses dengan anak patung sehingga boneka berkenaan dibawa bersama tatkala makan dan tidur.

Walau bagaimanapun, tidak semua anak patung sesuai untuk menjadi peneman kanak-kanak ekoran mereka dipercayai dihuni oleh makhluk lain.

Berikut merupakan tujuh anak patung yang didakwa paling berhantu di dunia.

1. Little Miss No Name

Little Miss No Name adalah sebuah anak patung yang telah direka oleh syarikat pengeluaran permainan kanak-kanak Hasbro. Kebiasaannya syarikat ini akan mengeluarkan patung-patung yang comel untuk memenangi hati kanak-kanak perempuan seperti boneka Barbie yang popular.

Namun begitu, syarikat tersebut telah mencipta sebuah anak patung perempuan dengan muka yang sedih dan baju yang lusuh. Tangannya juga seolah-olah seperti mahu meminta sesuatu dengan mata yang berwarna merah menyala. Tujuan sebenar syarikat Hasbro mencipta patung ini masih lagi menjadi tanda tanya.

2. Mandy

Patung Mandy merupakan sebuah anak patung berupa bayi yang diperbuat daripada porselin. Merupakan milik seorang wanita buat sekian lama, boneka ini didakwa sering menangis pada waktu malam.

Oleh itu, wanita tersebut telah mendermakan patung Mandy ini ke sebuah muzium di British Columbia pada tahun 1991. Namun begitu, pekerja-pekerja muzium selalu mengatakan Mandy telah banyak membuat kerosakan dan menjadi punca kehilangan barang-barang para pekerja.

Malah, Mandy juga tidak boleh dipamerkan bersama patung-patung yang lain kerana ia akan menolak boneka lain dan membuatkan tempat ia dipamerkan itu berselerakan.

Oleh itu, patung Mandy telah disimpan di dalam peti kaca yang dikhaskan untuknya sendiri. Menurut para pengunjung muzium, mereka akan berasa seolah-olah ada mata yang mengekori mereka saat melalui kawasan di hadapan Mandy.

3. Joliet

Sejak berkurun lamanya, patung Joliet telah disimpan oleh sebuah keluarga sehingga generasi keempat.

Menurut pemilik patung ini, Joliet dikatakan menjadi punca kesemua bayi lelaki yang lahir dalam keluarga berkenaan meninggal dunia.

Joliet merupakan pemberian sahabat kepada nenek si pemilik yang sedang sarat mengandung. Tiga hari selepas dilahirkan, anak kecil itu meninggal dunia.

Nenek si pemilik sering berhalusinasi di mana dia akan terdengar bunyi tangisan seorang bayi. Akhirnya, wanita berkenaan sedar bahawa bunyi anak kecil menangis itu datangnya dari patung Joliet.

Sejak kejadian itu, mana-mana perempuan dari keluarga itu yang melahirkan anak lelaki pasti akan kehilangannya selepas tiga hari.

4. Pupa

Direka pada tahun 1920, Pupa adalah boneka yang dihasilkan supaya menyerupai wajah pemiliknya. Malah, rambut anak patung ini juga menggunakan rambut sebenar tuannya.

Selepas pemiliknya meninggal dunia pada tahun 2005, Pupa disimpan di dalam sebuah bekas kaca. Menurut sumber, patung itu mampu menukar posisi dan boleh mengeluarkan dirinya sendiri dari peti berkenaan.

5. Okiku

Turut dianggap sebagai boneka hidup, patung Okiku terkenal dengan rambutnya yang kerap memanjang bak manusia.

Menurut sejarahnya, seorang lelaki bernama Ekeichi Suzuki telah membeli boneka tersebut lalu menghadiahkannya kepada anaknya yakni Okiku.

Setelah Okiku meninggal dunia, boneka berkenaan diletakkan di atas sebuah altar untuk keluarga Suzuki bersembahyang kepadanya. Mereka percaya bahawa roh Okiku yang sebenar sudah meresap ke dalam patung terbabit.

Sebuah kajian yang dilakukan telah membuktikan bahawa rambut Okiku sememangnya rambut asli kanak-kanak perempuan.

6. Robert

Menjadi inspirasi kepada filem terkenal Chucky, patung Robert ini dikatakan terkena amalan ilmu ghaib. Difahamkan, orang gaji keluarga pemiliknya yang menghadiahkan Robert sebagai tanda balasan dendam kerana telah memecatnya.

Patung Robert ini pernah mencederakan sebuah keluara yang telah berpindah ke kediaman lama pemiliknya. Pada hari ini, boneka puaka terbabit dipamerkan di sebuah muzium. Bagi pengunjung yang mahu bergambar dengannya, haruslah meminta izin terlebih dahulu dan menunggu Robert membalas dengan gerakan sedikat atau anggukan untuk mengelakkan terkena sumpahan.

7. Annabelle


Berkemungkinan merupakan boneka puaka yang paling popular kerana filem The Conjuring, Annabelle dikatakan menjadi ‘rumah’ kepada satu roh yang sentiasa ingin membunuh.

Pernah dimiliki oleh seorang pelajar bernama Danna, gadis itu mendakwa Annabelle mampu menulis nota. Malah, dia juga pernah menemui kesan darah di belakang kepada anak patung itu.

Kini, Annabelle disimpan di dalam sebuah peti kaca di rumah Ed dan Lorraine Warren. Bagi sesiapa yang melihatnya dan mengejek, individu itu akan ditimpa malapetaka dan mati.

Kesimpulannya, ada lebih banyak lagi perkara-perkara misteri di dunia ini yang belum dirungkai. Oleh itu, sentiasalah kita berwaspada terhadap sesuatu barang yang kita miliki kerana mungkin barang-barang itu juga telah disumpah dan dijadikan amalan ilmu hitam.

Penulis:

• Nurhasnim Suhaina bt Abd Hamid adalah pelajar Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
• Dr. Mohd Syuhaidi Abu Bakar adalah Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jalinan Industri, Fakulti Filem, Teater dan Animasi.

Untuk membaca artikel lain berkaitan patung berhantu, sila klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca