Ramai Teruja Rentas Negeri, Balik Kampung ‘Qada’ Sambut Aidilfitri

 Sebaik sahaja ‘lampu hijau’ diberikan bagi melakukan perjalanan rentas negeri bermula semalam (10 Jun), sebahagian besar rakyat Malaysia tidak sabar dan sudah pun merancang untuk balik kampung atau setidak-tidaknya bercuti bersama keluarga, hujung minggu ini.

Memandangkan masih suasana raya dalam bulan Syawal, ramai yang begitu teruja untuk menghangatkan kembali sambutan Aidilfitri dan menggayakan baju raya serta fesyen rambut raya apabila berkesempatan berkumpul bersama adik-beradik, ibu bapa dan keluarga tercinta.

Tidak kurang juga ada yang teringin menjenguk ke dusun milik keluarga dan menikmati durian serta buah-buahan tempatan seperti duku, langsat, cempedak, mangga dan rambutan yang berlonggok di kampung.

Sesungguhya, pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Ahad (7 Jun 2020) lepas, amat dinanti dan melegakan rata-rata rakyat setelah hampir tiga bulan mematuhi arahan duduk di rumah.

PKPP yang bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberikan termasuk perjalanan rentas negeri kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan dan ekonomi dibenarkan beroperasi.

Apa yang pasti, keterujaan untuk bertemu orang kampung bukan sahaja dirasai rakyat marhaen, malah pemimpin juga tidak sabar untuk merentas negeri dan bertemu pengundi di peringkat akar umbi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob antara pemimpin yang akan melakukan perjalanan rentas negeri hujung minggu ini untuk menjenguk orang kampung di kawasan Parlimen Bera.

Beliau yang juga anggota Parlimen Bera sejak 2004 ternyata tidak sabar untuk balik kampung di Pahang.

“Sudah 84 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Setiap hari selama 84 hari, saya bertemu dengan wakil media, namun tidak berjumpa rakyat di kawasan Parlimen Bera,” kata Ismail Sabri selepas sidang media mengenai COVID-19 di Perdana Putra, di sini, Isnin lepas.

Siaran langsung sidang media harian, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan, sentiasa diikuti seluruh rakyat Malaysia sehingga netizen menggelarkan beliau sebagai Pak Long Mail.

Ditanya sama ada sidang media harian beliau akan ‘bercuti’ pada hujung minggu ini kerana beliau pulang ke Bera, Ismail berkata, “perkara itu akan dimaklumkan kemudian.”

Sementara itu, petugas barisan hadapan COVID-19 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Pekan, Pahang, Dr Nur Fahimah Amir Jalaluddin, 33, merancang pulang ke kampung halamannya di Ipoh, Perak pada 20 Jun depan. 

Dalam keterujaan untuk pulang ke kampung dan bercuti merentas negeri bagi menemui orang yang dirindui, rakyat perlu sentiasa mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengikuti nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media baru-baru ini berkata PKPP dilaksanakan mulai 10 Jun berpandukan SOP khusus bagi memulihkan keadaan penularan wabak COVID-19.

“Kita jaga diri kita, kita jaga keluarga kita, kita jaga komuniti kita dan kita jaga negara kita. Kalau bukan kita, siapa lagi,” katanya. 

Untuk baca lebih banyak artikel berkenaan PKPP, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca