“Rakyat Sedang Susah, Lapar Dan Sakit.” – Syed Saddiq Tidak Setuju Cadangan ‘Hidupkan’ Semula PLKN

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kanan (Keselamatan) sebelum ini ada mencadangkan untuk melaksanakan semula PLKN yang dimansuhkan pada 2018.

Walau bagaimanapun, cadangan itu ditentang oleh Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menyifatkan bahawa ia seperti satu pembaziran kerana negara kini sedang dilanda wabak COVID-19.

Menurut Syed Saddiq, beliau risau dengan keadaan negara yang kini sedang mengalami krisis ekonomi, masalah pengangguran, akses pendidikan yang terhad sewaktu kuarantin dan syarikat-sayarikat kecil yang sudah gulung tikar akibat COVID-19.

“Ini bukan masanya untuk retorik projek mega dan bazirkan jutaan ringgit untuk sebuah program 3 bulan. Ini masa untuk kerajaan sedar bahawa rakyat sedang susah, lapar dan sakit.

“Kalau jawapan kerajaan kepada krisis ekonomi, masalah pengangguran, akses pendidikan yang terhad waktu kuarantin dan syarikat kecil dan sederhana yang gulung tikar kerana COVID-19 adalah dengan mencadangkan PLKN diwujudkan semula, saya risau,” kata beliau.

Syed Saddiq turut menegaskan bahawa PLKN adalah antara program kerajaan yang paling mahal yang pernah dilaksanakan.

“Apabila saya kata mahal, kos belanja untuk PLKN dari tahun 2004 telah cecah RM8.43 bilion. Hampir separuh dari kos PLKN itu hanya untuk bayar sewa kem, aktiviti bukan latihan dan kurikulum pelatih,” tambah beliau.

Syed Saddiq berkata cadangan melaksanakan semula PLKN menunjukkan kerajaan tidak peka terhadap masalah yang dihadapi rakyat.

Sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ada menyatakan bahawa cadangan itu akan dibentangkan untuk kelulusan Kabinet, kerana PLKN memberi kesan baik kepda pembentukan patriotismen remaja.

“Jangan gunakan alasan semangat patriotisme dan cintakan negara di dalam PLKN untuk mengalihkan pandangan masyarakat kepada masalah pengangguran, orang muda dibuang kerja dan lebih 266 orang bunuh diri kerana tekanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata beliau.

Untuk baca artikel-artikel lain yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca