Rakyat Perlu Siap Sedia Sekiranya PKP Dilaksana Semula

Semua pihak diminta supaya bersedia berdepan dengan kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dikuat kuasa semula sekiranya penularan jangkitan wabak COVID-19 kembali meningkat.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan kerajaan bergantung sepenuhnya kepada situasi semasa dan data mengenai kadar penularan COVID-19 yang diperoleh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sehubungan itu, beliau yang juga merupakan Menteri Pertahanan berkata, ada kemungkinan keputusan yang akan diambil kerajaan berbeza berbanding sebelum ini.

“Kita lihat banyak negara di dunia seperti Jerman, Korea Selatan, China dan sebagainya membuka negara mereka (daripada perintah berkurung atau kawalan pergerakan), tetapi apabila situasi berubah, akhirnya mereka perlu tutup semula.

Kita baca berita semalam bahawa Arab Saudi yang sebelum ini tiada penutupan sepenuhnya, kini akan mengenakan perintah berkurung selama 24 jam berkuat kuasa selama lima hari iaitu dari 23 sehingga 27 Mei.

Oleh itu, selama lima hari termasuk ketika Aidilfitri, negara mereka ditutup atau dikenakan perintah berkurung. Kita bernasib baik apabila kerajaan memberikan sedikit kelonggaran,” kata beliau dalam sidang media harian pada Khamis.

Pada masa yang sama, beliau mengatakan bahawa kebebasan yang diberikan kerajaan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu dimanfaat semua pihak dengan memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Setiap kebebasan perlu dihargai dengan penuh tanggungjawab iaitu menjaga kepentingan diri dan masyarakat, termasuklah keselamatan keluarga sendiri,” ujarnya.

Untuk baca artikel-artikel lain tentang penularan wabak COVID-19, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca