Rakyat Malaysia Bersatu Hulur Bantuan, Barang Keperluan Penuhi Parkir Stadium

Kesatuan rakyat Malaysia dalam membantu mangsa-mangsa yang terkesan akibat banjir jelas terpapar apabila timbunan beg plastik dan kotak pelbagai jenis barangan keperluan yang dihantar untuk mangsa banjir, memenuhi parkir Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada Ahad lalu.

Rakyat Malaysia nyata menyokong program pengumpulan barangan untuk mangsa banjir yang dianjurkan secara bersama oleh Persatuan Ikatan Amal Muafakat Malaysia dan Persatuan Belia Dinamik Barat itu.

Barangan keperluan yang dihantar untuk mangsa banjir, memenuhi parkir Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada Ahad lalu.

Pengerusi Persatuan Ikatan Amal Muafakat Malaysia, Mohd Shahril Anuar, 36, berkata dia tidak menyangka program itu akan mendapat sambutan yang begitu baik sekali walaupun program ini hanya diuar-uarkan di platform Facebook dan WhatsApp.

“Membantu mangsa-mangsa banjir ini bukan perkara baharu buat kami. Tapi nampaknya sambutan kali ini di luar duga.

“Program bermula dari jam 12 tengah hari sehingga jam 4 petang, orang ramai tak putus-putus hantar bantuan sehingga menyebabkan jalan masuk ke stadium ini sesak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui Ahad lalu

Pengerusi Persatuan Ikatan Amal Muafakat Malaysia, Mohd Shahril Anuar. Sumber: Sinar Harian

Menurutnya, kesemua barangan yang diberikan akan disusun di Kompleks Belia dan Sukan Paroi (Kombes) dan balai raya Taman Ampangan. Barangan ini kemudiannya akan dihantar kepada mangsa banjir di Negeri Sembilan dan selebihnya di Klang dan Shah Alam, Selangor.

Yang menjadi masalah buat pihaknya kini, kata Shahril, adalah proses pengasingan barangan kerana kekurangan sukarelawan.

“Barang yang dihantar ini terlalu banyak. Jadi kita alu-alukan kepada sesiapa sahaja yang mahu membantu membuat kerja-kerja pengasingan barangan mengikut jenis datang ke Kombes.”

Beliau juga mengingatkan orang ramai agar turut melabel barang yang dihantar agar dapat memudahkan proses pengasingan.

Seorang penduduk yang turut serta dalam program itu, Nik Mohd Azizuddin Nek Sarifuddin, 31, berkata dia dan isteri telah menghantar pakaian terpakai keranai menyedari bahawa ramai mangsa yang di luar sana terpaksa keluar rumah dalam keadaan sehelai sepinggang.

“Saya nak dengan kewangan tak mampu, jadi saya bantu setakat yang mampu.

“Bila berlaku tragedi begini, kita rakyat Malaysia perlu bersatu,” katanya.

Untuk baca artikel-artikel yang berkaitan, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Sumber:

Artikel Lain Untuk Di Baca