Nama penyanyi berbakat Ismail Izzani tidak perlu lagi diperkenalkan kepada umum. Walau bagaimanapun, penyanyi muda itu baru-baru ini telah mencuri perhatian orang ramai apabila melakukan penggambaran muzik video untuk lagu terbaharunya di sebuah gereja.
Walaupun menyedari bahawa pemilihan lokasi penggambaran video muzik ini menyentuh sensitiviti para penonton, penyanyi Bidadari itu bagaimanapun berpegang kepada mesej yang mahu disampaikan menerusi lagu.
Memetik laporan Kosmo, Ismail menjelaskan bahawa beliau mahu penonton nampak jalan cerita tentang sepasang kekasih yang menganuti agama berbeza.
“Saya mahu penonton nampak jalan cerita tentang sepasang kekasih tetapi tidak menganuti agama sama. Saya memilih gereja supaya orang ramai lebih mudah faham konteks jalan cerita Ada Cara yang menyentuh soal agama. Atas sebab itu, saya tidak rasa ada yang salah,” jelasnya.

Menurut Ismail lagi, penggambaran muzik video berkenaan yang dilakukan di sebuah gereja itu merupakan satu pengalaman baharu buat dirinya.
“Mestilah rasa pelik sebab ini kali pertama saya masuk ke situ. Saya rasa tidak biasa dan kekok sehingga terpaksa ambil masa selama 30 minit untuk bersedia sebelum memulakan penggambaran.

Walau bagaimanapun, saya perlu buat yang terbaik apabila fikirkan tentang mesej yang ingin disampaikan kepada penonton. Lirik lagu ini sendiri pun sudah mendalam ditambah dengan visual dalam gereja ini membuatkan hasilnya sangat mengagumkan.
Lebih-lebih lagi, lagu ini berkisar tentang agama di mana ia merupakan kisah cinta seorang lelaki yang berpegang teguh kepada agamanya. Manusia berbeza tetapi Tuhan hanya satu dan lelaki dalam lagu memilih Tuhannya,” tambahnya.
Pada pendapat anda, adakah lagu ini menyentuh sensitiviti orang ramai?
Untuk baca artikel-artikel berkaitan selebriti tempatan, anda boleh klik pada pautan di bawah: