Raja Permaisuri Agong Kongsi Rutin Harian Sepanjang Tempoh Kuarantin

Umum mengetahui beberapa petugas di Istana Negara telah dijangkiti COVID-19 pada 26 Mac yang lalu. Oleh itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah disahkan negatif setelah menjalani saringan kesihatan dan pengesanan COVID-19 .

Namun begitu, Tuanku Baginda dan keluarga perlu kuarantinkan diri masing-masing tanpa bertemu satu sama lain untuk mengelak daripada dijangkiti. Pengalaman ini dikongsikan sendiri oleh Permaisuri Agong melalui hantarannya di laman akaun Instagram miliknya.

Baginda menceritakan bagaimana masa yang terluang itu digunakan untuk bertadarus beramai-ramai walaupun mereka berjauhan dan mendoakan agar wabak COVID-19 ini dapat dibendung dengan cepat untuk kesejahteraan rakyat.

Hari ini, Permaisuri Agong berkongsi cerita bagaimana baginda masih lagi menyediakan sarapan buat Yang di-Pertuan Agong setiap hari walaupun tidak dapat berjumpa satu sama lain.

Tidak kira siapa diri kita dan dengan siapa kita berkahwin, tidak kira bangsa, harta, agama dan kepercayaan, baginda menyatakan bahawa itu sudah menjadi satu tugas sebagai seorang isteri untuk menjaga suami dan keluarga.

Hantaran tersebut mendapat perhatian daripada orang ramai yang memuji Permaisuri Agong dan mendoakan supaya Tuanku Baginda sekeluarga sentiasa dilindungi oleh-Nya.

Rakyat dinasihati agar sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan diri sepanjang berada di rumah. Selain itu, pastikan anda mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuat kuasa ketika ini untuk membendung COVID-19.

Untuk membaca artikel lain berkaitan Raja Permaisuri Agong, anda boleh klik pada pautan di bawah:

Artikel Lain Untuk Di Baca